Dunia 22/10/2026 10:13 PM

Gaza Hadapi Kekurangan Tepung Sepenuhnya, Tujuh Kilang Roti Berisiko Ditutup

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Gaza Hadapi Kekurangan Tepung Sepenuhnya, Tujuh Kilang Roti Berisiko Ditutup
Kredit: WAFA

 GAZA, 22 Okt (Bernama-WAFA) -- Gudang-gudang di seluruh Semenanjung Gaza kehabisan bekalan tepung sepenuhnya, kata Ketua Persatuan Pembuat Roti Semenanjung Gaza Abdul Nasser al-Ajrami pada Khamis, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

Beliau memberi amaran bahawa tujuh kilang roti yang masih beroperasi berkemungkinan terpaksa ditutup dalam tempoh 48 jam akan datang sekiranya bekalan baharu tidak dibenarkan masuk.

Dalam temu bual telefon bersama WAFA, al-Ajrami menjelaskan bahawa krisis berkenaan berpunca daripada tindakan Israel menutup pintu sempadan Gaza sepanjang minggu lepas dan enggan membenarkan tepung komersial dibawa masuk ke wilayah itu, meskipun pintu sempadan dibuka semula secara separa.

Beliau berkata kuantiti terhad yang  dalam simpanan sebelum ini telah habis, memaksa beberapa kilang roti menghentikan operasi.

Hanya tujuh daripada 20 kilang roti di Semenanjung Gaza yang masih beroperasi, dan kilang-kilang itu juga berkemungkinan terpaksa ditutup sekiranya penghantaran tepung tidak dibenarkan.

Al-Ajrami menegaskan bahawa tepung yang terdapat di pasaran tempatan ketika ini datang daripada Program Makanan Sedunia (WFP), manakala kilang roti komersial yang bergantung kepada tepung yang dibawa masuk melalui pintu sempadan telah menghentikan operasi.

Beliau memberi amaran bahawa tindakan menghalang tepung komersial daripada memasuki Gaza akan menyebabkan penutupan semua kilang roti dan menghentikan bekalan roti kepada penduduk.

Krisis tepung itu berlaku susulan keputusan WFP pada Isnin untuk mengurangkan bantuan kepada lebih setengah juta penduduk di Semenanjung Gaza berpunca daripada kekurangan dana yang serius, langkah yang telah meningkatkan permintaan terhadap tepung dan menaikkan harga.

Pintu sempadan ke Semenanjung Gaza telah ditutup pada beberapa ketika sepanjang Oktober, sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan dan ekonomi di tengah-tengah sekatan ke atas kemasukan makanan, sayur-sayuran, bahan api dan bantuan kemanusiaan.

Pintu sempadan darat Rafah juga kekal ditutup bagi pemindahan rakyat Palestin yang sakit dan cedera.

-- BERNAMA-WAFA