Politik 22/10/2026 10:08 PM

PRN Sarawak: PBB Beri Bayangan Akan Ada Pertambahan Calon Wanita

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PRN Sarawak: PBB Beri Bayangan Akan Ada Pertambahan Calon Wanita
Naib Ketua Pergerakan Wanita PBB Datuk Seri Nancy Shukri --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memberi bayangan akan ada pertambahan calon wanita pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 akan datang.

Naib Ketua Pergerakan Wanita PBB Datuk Seri Nancy Shukri berkata Ketua Penerangan PBB Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah memaklumkan terdapat calon baharu yang akan diketengahkan pada pilihan raya berkenaan, termasuk wanita.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata beliau sememangnya berharap lebih ramai wanita diberi peluang untuk bertanding pada PRN itu.

“Saya hanya dapat bercakap dan membawa hasrat supaya lebih ramai wanita diketengahkan, tetapi tadi saya dengar beliau (Abdul Karim) sudah berkongsi dengan media, mungkin itulah keadaannya.

“Ada yang baharu, katanya dalam 10 peratus (calon baharu) dan antaranya ada wanita,” katanya ketika ditemui selepas rakaman program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di Wisma Bernama hari ini.

Pada 6 Okt lepas, Ketua Pergerakan Wanita PBB Datuk Seri Fatimah Abdullah menyuarakan hasrat untuk melihat lebih ramai wanita diketengahkan sebagai calon pada pilihan raya akan datang bagi meningkatkan perwakilan golongan itu dalam politik.

Bagaimanapun, Fatimah berkata keputusan pemilihan calon adalah hak Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku peneraju Gabungan Parti Sarawak (GPS), setelah meneliti pelbagai faktor termasuk kaliber, merit dan kemampuan memenangi kerusi.

Ketika ini, hanya lima daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak disandang oleh wanita.

-- BERNAMA