Am 22/10/2026 10:11 PM

Ketepatan Data, Trafik Masa Nyata Kunci Daya Saing Navigasi Tempatan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Ketepatan Data, Trafik Masa Nyata Kunci Daya Saing Navigasi Tempatan

Oleh Nazira Hasanah Nasaruddin

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya orang ramai menggunakan aplikasi navigasi tempatan seperti TuJu membuka ruang untuk pengguna meneroka alternatif selain Waze dan Google Maps, termasuk Apple Maps, HERE WeGo, Sygic dan Petal Maps.

Bagaimanapun, usaha memperluas penggunaan aplikasi tempatan perlu disokong dengan peningkatan ketepatan data lokasi, kecekapan laluan dan kebolehpercayaan sistem bagi memastikan produk berkenaan mampu memenuhi keperluan pengguna.

Aktivis Keselamatan Jalan Raya dan Pengangkutan Lestari Shahrim Tamrin berkata usaha menggalakkan penggunaan aplikasi tempatan seperti TuJu dan PINTAZ wajar dilihat sebagai peluang strategik untuk memperkukuh keupayaan teknologi negara serta mengurangkan kebergantungan pada platform asing.

Shahrim yang juga bekas Ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) berkata persaingan dalam industri navigasi seharusnya berasaskan prestasi dan nilai yang ditawarkan kepada pengguna, bukan semata-mata asal usul sesebuah produk.

“Produk tempatan tidak semestinya wajib dan perlu sempurna sejak hari pertama, tetapi mesti menunjukkan kemajuan yang nyata, konsisten dan boleh diukur,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Kejuruteraan Perisian Jabatan Kejuruteraan Elektronik Sistem, Malaysia-Japan International Institute of Technology, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Zatul Alwani Shaffiei berkata keupayaan aplikasi navigasi tempatan untuk menjadi alternatif kepada platform antarabangsa bergantung pada ketepatan carian lokasi, kecekapan pemilihan laluan, maklumat trafik masa nyata, kestabilan sistem dan kemudahan penggunaan.

Beliau berkata prestasi aplikasi berkenaan boleh dinilai melalui ujian perbandingan dengan platform sedia ada menggunakan laluan, waktu dan keadaan trafik yang setara, termasuk perbezaan antara anggaran masa ketibaan (ETA) dengan tempoh perjalanan sebenar.

“Ketepatan maklumat trafik masa nyata pula dinilai berdasarkan keupayaan dan kepantasan aplikasi mengesan kesesakan, kemalangan atau penutupan jalan berbanding keadaan sebenar,” katanya.

Zatul Alwani berkata antara cabaran utama aplikasi navigasi tempatan ialah memastikan pangkalan data lokasi sentiasa dikemas kini, mendapat data trafik yang tepat serta meningkatkan jumlah pengguna aktif bagi menyokong keberkesanan perkhidmatan.

Beliau berkata pengujian awal turut menunjukkan masih terdapat lokasi yang sukar ditemukan melalui fungsi carian, selain fungsi mencari kemudahan berhampiran seperti stesen minyak, pengecas kenderaan elektrik, mesin pengeluaran wang automatik (ATM), pusat perubatan dan restoran yang perlu ditambah baik.

Sehubungan dengan itu, Zatul Alwani berkata penambahbaikan perlu mengutamakan ketepatan carian destinasi, penjejakan GPS (Global Positioning System), pemilihan laluan yang cekap, ketepatan ETA, maklumat trafik masa nyata dan kestabilan sistem sebelum ciri tambahan dibangunkan secara berperingkat.

“Peluang perlu diberikan kepada aplikasi baharu untuk terus berkembang, namun pada masa yang sama aspek kualiti dan kebolehpercayaan sistem tidak boleh dikompromi,” katanya.

Pandangan itu turut dikongsi beberapa pengguna di platform Threads yang berpendapat pangkalan data lokasi aplikasi navigasi tempatan perlu diperluas dan dikemas kini bagi meningkatkan pengalaman pengguna.

Seorang penjawat awam di sebuah hospital, Wan Nur Athirah Wan Fudhail, 35, berkata ketepatan arahan perjalanan dan kemudahan mencari lokasi menjadi antara aspek yang perlu diberi perhatian bagi memastikan aplikasi berkenaan memenuhi keperluan pengguna.

Semalam, kerajaan memutuskan untuk melarang semua penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi Waze bagi melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel.

Perdana Menteri berkata keputusan itu mengambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd selaku pengawal data pengguna yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel.

Sebagai alternatif, Perdana Menteri menggalakkan orang ramai memanfaatkan aplikasi navigasi tempatan, TuJu, yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

-- BERNAMA