GEORGE TOWN, 22 Okt (Bernama) -- Polis menahan seorang pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang disyaki terlibat dalam kejadian langgar lari sehingga meragut nyawa dua individu di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran susur Jambatan Pulau Pinang di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata lelaki berusia 23 tahun itu ditahan pada 1 tengah hari tadi selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini.
“Lelaki itu berasal dari Bukit Jambul. Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati negatif dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian pada 4 pagi itu, seorang lelaki dan rakan wanitanya maut selepas motosikal ditunggangi mereka dipercayai dirempuh sebuah kenderaan dalam kejadian langgar lari berhampiran susur Jambatan Pulau Pinang, di sini.
Mangsa yang masing-masing berusia 22 dan 20 tahun dipercayai dalam perjalanan dari arah pusat bandar George Town menuju ke Jambatan Pulau Pinang.
Abdul Rozak berkata permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, beliau berkata bedah siasat mendapati mangsa lelaki yang juga penunggang motosikal maut akibat kecederaan parah di kepala dan leher, manakala wanita yang membonceng motosikal itu turut cedera parah di kepala.
-- BERNAMA