Am 21/10/2026 05:56 PM

Ahmad Zahid Ziarah Keluarga Adik Asiah, Seru Pengguna Jalan Raya Lebih Berhemah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Ahmad Zahid Ziarah Keluarga Adik Asiah, Seru Pengguna Jalan Raya Lebih Berhemah
Kredit: X@DrZahidHamidi

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua pengguna jalan raya agar sentiasa memandu dengan cermat dan berhemah bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Beliau yang meluangkan masa menziarahi keluarga Allahyarham Asiah Ahmad Syahir, kanak-kanak yang maut dalam nahas membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching, di sini baru-baru ini berkata kecuaian boleh meninggalkan kesan kepada keluarga mereka.

"Setiap keputusan yang kita buat di jalan raya membawa tanggungjawab, kerana satu kecuaian boleh meninggalkan kesan yang sangat panjang kepada kehidupan orang lain dan keluarga mereka," katanya menerusi hantaran di X hari ini.

 Beliau menyifatkan kehilangan tersebut amat menyentuh hati terutama sebagai seorang datuk yang turut mempunyai cucu seusia mangsa ketika menziarahi keluarga itu di Kampung Sungai Penchala di sini.

“Sukar untuk membayangkan keperitan serta rasa kehilangan yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa dan seluruh ahli keluarga mangsa.

"Sebagai seorang atuk yang juga mempunyai cucu-cucu seusia Allahyarhamah, hati saya benar-benar tersentuh melihat kehilangan seorang anak kecil yang sepatutnya masih panjang perjalanan hidupnya,” katanya.

Ahmad Zahid turut menitipkan doa agar seluruh ahli keluarga mangsa dikurniakan kekuatan serta ketabahan bagi menghadapi ujian yang amat berat itu selain berharap roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

Sebelum ini, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun yang menaiki kereta jenis Perodua Bezza, mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur selepas terlibat dalam kemalangan yang membabitkan enam kenderaan.

-- BERNAMA