KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Rapid KL akan melaksanakan projek rintis perkhidmatan van perantara berasaskan laluan dan jadual tetap selama tiga bulan bermula 24 Okt ini bagi memperkukuh ketersambungan pengangkutan awam.
Projek rintis itu melibatkan penutupan sementara dua zon perkhidmatan Rapid KL On Demand (ROD), iaitu T400B yang menghubungkan Bandar Tun Razak dengan Taman Midah serta T512B dari Presint 11 ke Putrajaya Sentral.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Syahrul Azmir Ahmad Zaki berkata projek itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan Rapid KL untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.
“Melalui projek rintis ini, Rapid KL akan menilai model operasi berasaskan laluan dan jadual tetap dalam memperkukuh ketersambungan batuan pertama dan terakhir, sekali gus memudahkan akses komuniti ke stesen rel berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi laluan T400B, pengguna boleh mendapatkan sambungan ke Stesen Bandar Tun Razak bagi Laluan Sri Petaling dan Stesen Taman Midah bagi Laluan Kajang manakala laluan T512B pula menyediakan sambungan ke Stesen Putrajaya Sentral yang menghubungkan Laluan Putrajaya dan perkhidmatan KLIA Transit (ERL).
Menerusi model operasi baharu itu, pengguna boleh menaiki van di stesen dan hentian yang ditetapkan tanpa perlu membuat tempahan melalui aplikasi Rapid On-Demand.
Tambang sebanyak RM1 bagi setiap perjalanan akan dikenakan sepanjang tempoh projek rintis, dengan pembayaran boleh dibuat menggunakan kad debit, kad kredit dan Touch 'n Go menerusi sistem pembayaran terbuka.
Pemegang Kad Konsesi MyRapid layak menikmati diskaun tambang sebanyak 50 peratus manakala pemegang pas Rapid Mesra boleh menggunakan perkhidmatan itu secara percuma.
Syahrul Azmir berkata Rapid KL turut memantau penggunaan perkhidmatan, prestasi operasi dan maklum balas pengguna bagi menilai penerimaan serta keberkesanan inisiatif berkenaan.
“Hasil penemuan sepanjang tempoh pelaksanaan akan digunakan sebagai rujukan dalam mempertimbangkan penambahbaikan perkhidmatan pada masa hadapan,” katanya.
Inisiatif itu turut menyokong aspirasi kerajaan untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam melalui sistem mobiliti yang lebih bersepadu, mudah diakses dan mampan.
Maklumat lanjut mengenai projek rintis berkenaan boleh didapati menerusi saluran media sosial rasmi Rapid KL.
-- BERNAMA