KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) memeterai kerjasama strategik bagi memacu penyelesaian tenaga mampan serta pembangunan infrastruktur rel yang lebih cekap tenaga dan berdaya tahan.
Kerjasama yang dijalinkan menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) itu juga merupakan kesinambungan daripada hubungan kerja kedua-dua organisasi berkenaan dalam projek MRT Laluan 1 (MRT1), MRT Laluan 2 (MRT2), Laluan Mutiara Pulau Pinang dan Sistem Transit Aliran Johor Bahru-Singapura (RTS).
Dalam kenyataan bersama hari ini, MRT Corp dan TNB memaklumkan kerjasama itu dimulakan menerusi projek RTS Link, terutamanya di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bersepadu Bukit Chagar serta Depoh Wadi Hana dengan kedua-dua pihak meneroka peluang memperkenalkan penyelesaian tenaga boleh baharu.
Sesi pertukaran dokumen MoU itu telah dilakukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Ir Ts Shamsul Ahmad yang disaksikan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
Menurut MRT Corp dan TNB, kerjasama itu merangkumi tiga bidang kerjasama utama yang bermula dengan penyelesaian tenaga solar yang melibatkan penerokaan peluang pembangunan dan pelaksanaan sistem TBB di premis serta aset yang bersesuaian.
“Ini termasuk penilaian inisiatif penjimatan tenaga bagi mengurangkan penggunaan elektrik dan kos operasi, sekali gus menyokong pengurusan infrastruktur yang lebih cekap dan mampan dari segi alam sekitar.”
Bidang kedua menumpukan pengecasan kenderaan elektrik (EV) dan mobiliti hijau, termasuk potensi penyediaan kemudahan pengecasan EV di premis MRT Corp terpilih.
Kedua-dua pihak akan meneroka bagaimana infrastruktur pengecasan ini dapat melengkapi kemudahan pengangkutan awam serta menggalakkan penggunaan pilihan mobiliti yang lebih mampan.
Bagi bidang ketiga, ini melibatkan daya harap elektrik dan perkhidmatan penyelenggaraan dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang untuk meningkatkan keselamatan, keboleharapan dan daya tahan operasi sistem elektrik serta set janakuasa yang menyokong kemudahan infrastruktur rel kritikal.
Pada masa sama, kerjasama itu turut melengkapi usaha berterusan TNB dalam memacu peralihan tenaga Malaysia selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), khususnya menerusi pemodenan grid, integrasi tenaga boleh baharu dan penyelesaian tenaga lebih cekap.
“Melalui penerokaan aplikasi praktikal dalam sektor rel, kerjasama ini berpotensi menyumbang kepada aspirasi negara ke arah masa depan tenaga yang lebih mampan dan rendah karbon,” maklum kedua-dua pihak berkenaan.
-- BERNAMA