KUCHING, 21 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sarawak menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyelaras aspek pembangunan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching baharu yang dicadangkan di Tanjung Embang, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata pasukan berkenaan terdiri daripada agensi kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan manakala kerja-kerja fizikal bagi projek mega itu dijangka bermula awal tahun depan.
“Cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu itu adalah pelaburan strategik untuk masa depan Sarawak dengan kapasiti awal untuk menampung 15 juta penumpang setahun serta disepadukan dengan ekosistem Greater Kuching yang lebih luas,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan Negeri 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Abang Johari berkata lapangan terbang itu akan mengukuhkan kesalinghubungan udara peringkat serantau dan antarabangsa, meningkatkan pergerakan penumpang dan kargo serta meletakkan Sarawak sebagai hab serantau bagi sektor pelancongan, perdagangan dan pelaburan.
Beliau berkata Tanjung Embang sedang dibangunkan sebagai kawasan pertumbuhan ekonomi utama bagi Kuching dan Borneo, yang dijangka menarik pelaburan dalam industri bernilai tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, pemprosesan makanan serta teknologi mesin pintar.
-- BERNAMA