Am 21/10/2026 06:56 PM

Sultan Selangor Berangkat Ke Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Rakyat

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Sultan Selangor Berangkat Ke Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Rakyat
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (dua, kiri) berkenan menerima cenderahati daripada Pegawai Daerah Hulu Langat Datuk Mohd Jusni Hashim (tiga, kanan) pada Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Rakyat sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor 2026 di Padang Mahkota, Istana Alam Shah, hari ini. Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari (kiri) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzil Ahmad Tajuddin (kanan). -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KLANG, 21 Okt (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Rakyat bersempena dengan Sambutan Jubli Perak pemerintahan baginda di Istana Alam Shah, di sini.

Berangkat sama ke majlis itu ialah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Keberangkatan tiba baginda bertiga disambut oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Rakyat yang dihadiri lebih 3,000 masyarakat dari Hulu Langat, Kuala Langat, Gombak, Sepang dan Kuala Selangor itu ialah siri ketiga daripada lima siri yang disusun bersempena dengan sambutan tersebut.

Sementara itu, Pegawai Daerah Klang Mohd Hasry Nor Mohd dalam sembah ucapannya pada majlis berkenaan menyatakan komitmen warga pentadbiran peringkat daerah di seluruh Selangor untuk terus memperkukuh mutu perkhidmatan supaya lebih cekap, telus, responsif dan berintegriti demi kepentingan rakyat serta kemajuan negeri. 

“Tanggungjawab yang lebih besar adalah untuk memastikan setiap dasar, perancangan dan pelaksanaan pembangunan benar-benar membawa manfaat kepada rakyat serta meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.

“Dalam melaksanakan amanah tersebut, titah dan pandangan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, khususnya berkaitan tadbir urus, integriti, kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri menjadi pedoman yang amat bernilai,” katanya.

Beliau berkata walaupun arus pembangunan semakin pesat dan perubahan sosial yang kompleks, institusi diraja akan terus dipelihara sebagai lambang kestabilan, perpaduan dan kesinambungan negeri.

“Di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, Selangor terus berkembang sebagai sebuah negeri yang dinamik, berpotensi tinggi dan berdaya saing. 

“Kemajuan ini didukung oleh kebijaksanaan kepimpinan Tuanku, usaha berterusan pentadbiran negeri serta sokongan dan kerjasama seluruh rakyat Selangor,” katanya. 

-- BERNAMA