KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Malaysia terus memandang serius peningkatan konflik yang membimbangkan di seluruh rantau Timur Tengah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata beliau telah berhubung rapat dengan pemimpin utama serantau termasuk Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman dan Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani.
Beliau berkata perbincangan peringkat tinggi itu mencerminkan betapa seriusnya Malaysia melihat krisis berkenaan serta keperluan mendesak untuk menghalangnya daripada terus berlarutan.
"Pendirian Malaysia adalah jelas apabila kita kekal teguh dalam menyeru keamanan dan keadilan untuk rakyat Palestin, mengutuk sekeras-kerasnya genosid di Gaza dan menentang pengeboman sewenang-wenangnya di selatan Lubnan," kata beliau dalam hantaran X, hari ini.
Beliau berkata pendirian moral yang sama mendorong Malaysia untuk bersuara dengan ketegasan yang setara setiap kali orang awam yang tidak berdosa menjadi sasaran di mana-mana sahaja.
Sehubungan dengan itu, Malaysia mengulangi kecaman keras terhadap serangan oleh gerakan Houthi yang menyasarkan orang awam dan infrastruktur awam kritikal, seperti lapangan terbang dan kemudahan tenaga di Arab Saudi serta negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang lain.
Anwar berkata serangan terbaharu terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, yang mengorbankan nyawa orang awam tidak berdosa termasuk jemaah umrah, menjadi peringatan yang serius tentang kesan dahsyat keganasan sedemikian terhadap manusia.
Perdana Menteri berkata pendirian tegas Malaysia ditujukan kepada pihak yang bertanggungjawab atas tindakan agresif itu, dan bukannya rakyat Yaman, yang tabah menghadapi penderitaan selama bertahun-tahun dan berhak mendapat penyelesaian politik yang berkekalan.
Dalam pada itu, beliau berkata usaha mengekalkan keselamatan laluan laut penting di Timur Tengah bagi negara perdagangan seperti Malaysia.
"Malaysia akan terus menyokong semua usaha diplomatik untuk meredakan krisis dan melindungi kebebasan pelayaran," kata beliau.
-- BERNAMA