Am 21/10/2026 12:53 PM

Ahli Perniagaan Didakwa Atas Empat Pertuduhan Menipu Libatkan Wang RM10 Juta

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Ahli Perniagaan Didakwa Atas Empat Pertuduhan Menipu Libatkan Wang RM10 Juta

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menipu lelaki berpangkat Datuk Seri, bagi membantu menyelesaikan masalah akaun bank dibekukan serta siasatan kes polis melibatkan wang lebih RM10 juta.

Tan Sri Tan Kean Soon, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas empat pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, lelaki itu didakwa telah menipu ahli perniagaan Datuk Seri Keh Chuan Seng, 55, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu menyelesaikan masalah akaun bank peribadi dan syarikat mangsa yang dibekukan pihak polis, serta siasatan polis membabitkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) terhadap Keh.

Perbuatan itu telah mendorong mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM2 juta, RM3 juta, SGD 1.5 juta dan RM500,000 kepada tertuduh melalui Datuk Seri Chiau Beng Teik, yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan masing-masing di tempat letak kereta di Kuchai Lama, Dataran Maybank Bangsar, Hotel Pavilion dan Kampung Pandan di sini antara 23 dan 25 Mac 2025.

Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norfauzani Mohd Nordin tidak menawarkan jaminan terhadap Tan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, selain mengambil kira jumlah keseluruhan wang yang terlibat dalam kes berkenaan iaitu RM10 juta.

“Sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan jumlah RM2 juta dengan syarat tambahan pasport tertuduh tidak diambil, namun tertuduh perlu melaporkan pergerakan ke luar negara kepada mahkamah dan pihak pendakwaan melalui surat dan e-mel,” katanya.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik tidak membantah syarat tambahan itu, namun memohon supaya jaminan dikurangkan pada RM1 juta, atas alasan anak guamnya perlu berulang-alik ke Singapura bagi mendapatkan rawatan perubatan.

“Anak guam saya merupakan seorang ahli perniagaan dan sentiasa memberikan kerjasama baik dengan pihak polis,” katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan Tan diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin, selain menetapkan syarat supaya lelaki itu memaklumkan pergerakannya ke luar negara kepada mahkamah dan pihak pendakwaan.

Azrul menetapkan 11 Jan 2027 untuk sebutan kes.

-- BERNAMA