IPOH, 15 Okt (Bernama) -- Sebanyak 12 pekebun di Bukit Bangkong, Chemor di sini merayu tindakan segera pihak berkuasa bagi menangani masalah gajah liar yang menceroboh dan memusnahkan tanaman serta kemudahan infrastruktur di situ.
Pekebun Abdul Rahim Ahmad, 65, berkata serangan gajah itu berlaku tiga kali, iaitu pada 27 Sept, 3 dan 11 Okt yang menjejaskan kawasan seluas 9.7 hektar milik kesemua pekebun tersebut.
“Kami mengusahakan kawasan ini sejak 2018 dengan tanaman buah-buahan seperti durian, kelapa, nangka dan pisang. Ini kali pertama kami berhadapan serangan gajah kerana sebelum ini berhadapan ancaman harimau.
“Banyak pokok tumbang selain kemudahan tong air dan sistem perpaipan turut dirosakkan gajah,” katanya ketika ditemui di Bukit Bangkong hari ini.
Abdul Rahim yang juga ahli Persatuan Pengusaha-Pengusaha Tanah Pertanian Bukit Bangkong berkata keadaan itu menyebabkan mereka menanggung kerugian mencecah ribuan ringgit.
“Kos penggantian setiap tong air dianggarkan RM800 dengan sesetengah pekebun memiliki hingga lapan tong. Belum lagi kerugian akibat kerosakan pokok,” katanya.
Seorang lagi pekebun Rohaniah Razari, 64, berkata aduan rasmi telah dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi memohon tindakan susulan serta kaedah penyelesaian yang bersesuaian.
“Kami berharap tindakan pantas diambil kerana ketika ini kami takut untuk ke kebun. Walaupun belum pernah bertembung gajah, kami tidak mahu tindakan diambil selepas kejadian buruk berlaku,” katanya.
Ketua Whip Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Datuk Mazlan Abdul Rahman berkata pihaknya berharap agensi berkaitan dapat membantu menyelesaikan masalah itu dengan segera.
“Segelintir pengusaha bergantung kepada hasil kebun sebagai sumber pendapatan dan mereka bimbang usaha bertahun-tahun terjejas akibat ancaman gajah liar,” katanya.
-- BERNAMA