Dunia 19/10/2026 10:01 AM

PM Kanada Sahkan Empat Maut Dalam Kebakaran Di Pangkalan Tentera

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PM Kanada Sahkan Empat Maut Dalam Kebakaran Di Pangkalan Tentera
Patrick Doyle/The Canadian Press via AP

OTTAWA, 19 Okt (Bernama-Xinhua) -- Perdana Menteri Kanada Mark Carney mengesahkan seramai empat orang maut manakala puluhan yang lain cedera dalam kebakaran besar yang berlaku pada Sabtu di sebuah pangkalan tentera di wilayah Alberta, barat Kanada, lapor Xinhua.

Ketika memberikan perkembangan terkini mengenai kejadian itu di Ottawa, Carney berkata waris terdekat empat anggota tentera yang terkorban telah dimaklumkan.

"Petang semalam, api marak merebak dengan pantas di kawasan pangkalan Angkatan Tentera Kanada di Wainwright," kata Carney pada Ahad.

"Apa yang berlaku selepas itu merupakan antara tragedi terburuk menimpa angkatan tentera di bumi Kanada ketika negara berada dalam keadaan aman."

Carney berkata beliau telah mengarahkan pegawai kanan memberikan taklimat pada petang Ahad bagi mendedahkan butiran lanjut mengenai kejadian itu.

Angkatan Tentera Kanada (CFB) sebelum itu memaklumkan pada Ahad bahawa tiada petunjuk yang mengaitkan insiden itu dengan aktiviti pengganas, penilaian terhadap kesan keseluruhan kebakaran berkenaan masih dijalankan.

Media tempatan sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya tujuh orang maut dan puluhan lagi cedera.

Terletak kira-kira 200 kilometer ke timur Edmonton, CFB Wainwright merupakan antara pangkalan tentera darat paling sibuk di Kanada. Menurut laman sesawang kerajaan Kanada, pangkalan itu menempatkan Canadian Manoeuvre Training Centre dan 3rd Canadian Division Training Centre.

Mejar Jeneral Wade Rutland memberitahu pemberita bahawa anggota tentera sedang menjalani latihan menggunakan peluru hidup pada petang Sabtu, termasuk latihan menggunakan bom tangan, sebagai sebahagian daripada latihan taktikal yang dikenali sebagai "section attack".

Menurut Rutland, angin kencang menyebabkan kebakaran rumput merebak dengan pantas sehingga api menjalar sejauh satu kilometer dalam tempoh kira-kira 30 hingga 60 saat.

Pada masa ini, seramai 39 anggota yang cedera sedang menerima rawatan di hospital, dengan sekurang-kurangnya 19 daripada mereka berada dalam keadaan kritikal.

Beliau berkata satu pasukan tentera khusus telah memeriksa infrastruktur tenaga di kawasan berkenaan dan hasil pemeriksaan awal mendapati tiada kerosakan, namun pemeriksaan lanjut akan dijalankan.

Pegawai tentera itu turut berkata anggota yang terlibat sedang membuat persiapan untuk kemungkinan diatur gerak dalam tempoh beberapa jam ke kawasan berisiko tinggi di seluruh dunia, selain menjalani latihan sebelum penugasan bagi penggiliran pasukan ke Latvia.

-- BERNAMA-XINHUA