Am 19/10/2026 09:41 AM

Fahami Punca, Kenal Pasti Gejala Strok Dalam Kalangan Kanak-kanak

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Fahami Punca, Kenal Pasti Gejala Strok Dalam Kalangan Kanak-kanak
Strok boleh berlaku pada sebarang usia, daripada bayi yang baru lahir sehinggalah kepada remaja dan kegagalan mengenal pasti gejala dengan segera berpotensi menyebabkan komplikasi neurologi dan masalah perkembangan yang berpanjangan.

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Strok boleh berlaku pada mana-mana peringkat usia, daripada bayi yang baru dilahirkan sehinggalah remaja, dengan pengesanan gejala yang lewat berpotensi membawa kepada komplikasi neurologi dan perkembangan yang berpanjangan.

Pakar Perunding dan Pakar Neurologi Kanak-Kanak di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) Dr Tan Jen Ern berkata strok dalam kalangan kanak-kanak, walaupun jarang berlaku, mudah terlepas pandang atau disalah anggap sebagai penyakit kanak-kanak yang biasa.

"Strok kanak-kanak jarang berlaku, tetapi tidak bermakna penyakit itu mustahil terjadi. Perkara yang penting ialah mengenal pasti perubahan neurologi yang berlaku secara tiba-tiba dan mendapatkan penilaian perubatan kecemasan dengan segera," katanya dalam kenyataan.

Protokol Pediatrik untuk Hospital di Malaysia yang dibangunkan oleh Kementerian Kesihatan dan Persatuan Pediatrik Malaysia menganggarkan kejadian strok dalam kalangan kanak-kanak pada kadar 2.5 hingga 13 kes bagi setiap 100,000 kanak-kanak setiap tahun.

Dr Tan berkata kanak-kanak mungkin tidak dapat menggambarkan gejala mereka dengan jelas, manakala tahap kesedaran yang masih rendah dalam kalangan ibu bapa dan petugas penjagaan kesihatan juga boleh melambatkan diagnosis dan rawatan.

"Bagi kanak-kanak yang lebih berusia ataupun remaja, gejalanya mungkin menyerupai strok dalam kalangan orang dewasa seperti muka senget, rasa lemah pada sebelah badan atau kesukaran bercakap, namun bagi bayi dan kanak-kanak kecil, tanda-tandanya mungkin lebih sukar dikenal pasti, seperti sawan atau kesukaran menyusu," katanya.

Memandangkan strok jarang berlaku dalam kalangan kanak-kanak, ibu bapa mungkin memilih untuk menunggu dan melihat sama ada gejala tersebut akan reda dengan sendirinya. Bagaimanapun, strok merupakan kecemasan perubatan yang memerlukan tindakan segera tanpa mengira usia.

Sehubungan dengan itu, Dr Tan menasihati ibu bapa agar mencatatkan waktu terakhir anak mereka diketahui berada dalam keadaan normal kerana masa bermulanya gejala boleh menjadi faktor penting dalam menentukan pilihan rawatan kecemasan.

Langkah menghubungi ambulans membolehkan pasukan keselamatan menyelaras destinasi rawatan yang sesuai serta memudahkan pemindahan pesakit ke fasiliti yang mempunyai kepakaran dalam rawatan strok. Hospital yang paling hampir dengan rumah tidak semestinya mempunyai kemudahan dan kepakaran terbaik untuk merawat penyakit strok akut.

"Masa amat penting kerana setiap saat yang berlaku boleh menyebabkan lebih banyak sel otak terjejas. Jika sesebuah hospital itu tidak dapat menyediakan ujian pengimejan otak dan salur darah atau penilaian pakar yang diperlukan dengan segera, kanak-kanak tersebut mungkin perlu dirujuk atau dipindahkan ke fasiliti lain yang boleh menyebabkan kelewatan tambahan sebelum diagnosis dapat disahkan dan rawatan khusus dapat dilakukan," katanya.

Dr Tan berkata strok kanak-kanak boleh dikaitkan dengan penyakit jantung, abnormaliti pada salur darah otak, masalah berkaitan darah, jangkitan atau keradangan, trauma serta keadaan genetik atau metabolik tertentu, dan hal ini bermakna kanak-kanak yang kelihatan sihat sepenuhnya juga berisiko mengalami strok.

"Dalam kebanyakan kes, kanak-kanak ini mempunyai masalah kesihatan, tetapi tidak dikenal pasti dari awal. Berdasarkan pengalaman saya dalam amalan klinikal, punca asas yang paling lazim ialah abnormaliti pada salur darah otak," katanya.

Beliau berkata pemeriksaan menyeluruh diperlukan untuk mengenal pasti simptom strok termasuk ujian darah, ujian saringan gangguan pembekuan darah jika diperlukan, elektrokardiogram (ECG) untuk merekod aktiviti elektrik jantung, ekokardiogram untuk memeriksa struktur dan fungsi jantung, serta ujian pengimejan otak yang turut memetakan salur darah, iaitu pengimejan resonans magnetik bersama angiografi resonans magnetik (MRI dengan MRA).

Rawatan awal memberikan tumpuan untuk menstabilkan keadaan pesakit, mengawal sawan dan menangani komplikasi. Ubat-ubatan untuk mencegah pembentukan darah beku juga boleh digunakan bergantung pada punca strok.

Bagi pesakit terpilih yang memenuhi kriteria ketat, prosedur invasif minimum untuk mengeluarkan darah beku daripada arteri yang tersumbat, dikenali sebagai trombektomi endovaskular, boleh dipertimbangkan dengan sokongan kepakaran yang diperlukan.

Kanak-kanak yang mengalami strok mungkin menunjukkan pemulihan fizikal yang agak baik, tetapi masih mengalami kesukaran dari segi tumpuan, kelajuan memproses maklumat, ingatan, pembelajaran, komunikasi pengawalan emosi, berkawan atau keyakinan diri, dan kesukaran ini boleh memberikan kesan besar terhadap persekolahan, hubungan dengan orang lain dan kehidupan seharian mereka.

"Anak kecil mungkin kelihatan pulih dengan sangat baik pada peringkat awal, namun kesukaran tertentu mula kelihatan lebih jelas apabila mereka memasuki alam persekolahan dan berhadapan dengan tuntutan pembelajaran serta perkembangan yang semakin meningkat," katanya.

Dr Tan berkata justeru, pemantauan jangka panjang amat penting, dengan pemulihan menjadi komponen utama penjagaan melalui fisioterapi, terapi cara kerja, terapi pertuturan dan bahasa, penilaian neuropsikologi serta sokongan pendidikan.

"Tanggapan salah paling utama yang perlu dibetulkan oleh ibu bapa ialah strok hanya berlaku kepada orang dewasa. Jika anak anda tiba-tiba mengalami kelemahan pada sebelah badan, muka menjadi senget, kesukaran bercakap atau sawan tanpa sebab yang jelas, dapatkan rawatan perubatan dengan segera.

"Matlamat rawatan bukan sekadar untuk menangani strok akut, tetapi juga memastikan perkembangan dan kualiti hidup terus terpelihara ketika mereka membesar," katanya.

Sementara itu, orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang kesihatan otak dan sistem saraf, SMCV menganjurkan kempen neurosains, “Brain for Life: The Ultimate Mind & Motion Experience” di Main Atrium, Aras G, Sunway Velocity Mall bermula dari 10 pagi hingga 10 malam, 30 Okt hingga 1 Nov ini.

Antara pengisian utama acara yang turut merangkumi aspek kesejahteraan neurologi pada setiap peringkat kehidupan itu ialah SunMed Kids’ Club FAST Heroes Campaign oleh Angels Initiative (bengkel untuk kanak-kanak belajar mengenal pasti gejala strok).

Selain itu, tarikan lain ialah stesen permainan interaktif, sesi perbincangan panel tentang kehilangan memori dan penyakit Alzheimer peringkat awal, konsultasi percuma bersama dengan pakar perunding neurosains SMCV, penilaian kesihatan percuma serta promosi bagi pakej saringan kesihatan terpilih.

Pengunjung juga berpeluang mencuba Stroke Mirror yang pertama di Malaysia. Walaupun bukan alat diagnostik, cermin ini memaparkan simulasi gejala berkaitan strok untuk membantu keluarga mengenali dan memahami antara tanda amaran strok yang paling mudah dikenal pasti. Dapatkan maklumat lanjut mengenai kempen tersebut melalui pautan ini https://www.sunwaymedicalvelocity.com.my/en/brain-health-for-life/.

-- BERNAMA