Oleh Mohd Afiq Zulkifli
Stigma dan salah tanggapan terhadap keupayaan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan masih menjadi antara penghalang kepada peluang pekerjaan, meskipun golongan itu mampu mengendalikan sendiri komputer dan telefon pintar dengan bantuan teknologi sokongan.
Dalam bahagian akhir laporan khas tiga artikel ini, Bernama menelusuri cabaran yang dihadapi OKU penglihatan untuk menembusi pasaran pekerjaan, termasuk industri seni kreatif, serta usaha Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan pihak industri memperluas peluang kerjaya berdasarkan bakat dan keupayaan mereka.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Bukan kerana ketiadaan bakat, sebaliknya stigma dan keraguan terhadap keupayaan mereka yang menjadi antara penghalang Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan daripada menembusi pasaran pekerjaan, termasuk dalam industri seni kreatif.
Sedangkan, dengan kemajuan teknologi dan sokongan yang tersedia, golongan itu mampu menggunakan komputer dan telefon pintar serta melaksanakan pelbagai tugasan, bergantung pada kemahiran dan kesesuaian pekerjaan.
Realiti itu didedahkan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) Datuk George Thomas kepada Bernama yang mengakui salah tanggapan majikan terhadap keupayaan OKU penglihatan masih ketara.
Beliau berkata lebih separuh daripada 41 majikan yang menghadiri Program Advokasi dan Kesedaran OKU Penglihatan dalam Pekerjaan pada 30 Jun lepas tidak mengetahui golongan itu mampu menggunakan komputer dan telefon secara sendiri.
Program anjuran MAB dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu bertujuan meningkatkan kesedaran majikan terhadap keupayaan sebenar OKU penglihatan.
“Ada majikan beranggapan kalau mengambil OKU penglihatan, mereka perlu menyediakan seorang pembantu untuk menolong golongan ini, sedangkan MAB telah mengajar OKU untuk hidup berdikari. Kita tak nak peluang ini diberi kerana simpati tetapi sebab dia layak atau dia memang ada bakat,” katanya kepada Bernama.
Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) PERKESO Azirruan Arifin berkata keraguan majikan terhadap keupayaan OKU penglihatan masih menjadi cabaran dalam usaha menempatkan golongan itu dalam pasaran pekerjaan, walaupun mereka mempunyai kelayakan akademik, kemahiran dan pengalaman yang bersesuaian.
Beliau berkata kejayaan penempatan turut bergantung pada kesesuaian jawatan dan persekitaran kerja, termasuk akses fizikal, sistem digital, perisian pembaca skrin serta kaedah komunikasi yang bersesuaian.
“Secara keseluruhannya, cabaran utama lebih kepada memastikan terdapat kesepadanan antara kompetensi pencari kerja, keperluan jawatan, kesediaan majikan dan sokongan penyesuaian di tempat kerja.
“Oleh itu, pendekatan PERKESO adalah dengan meningkatkan keyakinan majikan melalui program advokasi bagi meningkatkan kesedaran dan membuka ruang serta peluang kepada OKU penglihatan berdasarkan keupayaan dan kebolehan mereka,” katanya.
Bagi memastikan pemadanan pekerjaan lebih berkesan, Azirruan berkata PERKESO melaksanakan proses pemprofilan untuk mengenal pasti kelayakan akademik, kemahiran, pengalaman, minat, keupayaan fungsi dan keperluan sokongan pencari kerja sebelum memadankan mereka dengan jawatan yang sesuai.
PERKESO turut menyediakan cadangan penyesuaian tempat kerja, pemantauan selepas penempatan serta khidmat nasihat kepada majikan bagi menyokong pengekalan pekerjaan dan pembangunan kerjaya golongan itu.
Dalam industri kreatif, peluang OKU penglihatan untuk mengembangkan bakat perlu dibuka berdasarkan kebolehan dan kemahiran mereka, bukan melihat keterbatasan fizikal sebagai halangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata ketidakupayaan penglihatan tidak seharusnya menjadi alasan untuk menutup peluang sebelum bakat seseorang dinilai secara adil.
Beliau berkata ruang penglibatan boleh diperluas kepada bidang lakonan, penulisan, pembangunan cerita, pengarahan dan produksi, mengikut kemahiran individu serta sokongan yang diperlukan.
FINAS juga terbuka untuk mempertimbangkan cadangan memperluas peluang pekerjaan kepada penggiat OKU menerusi Dana Kandungan Kreatif, termasuk mengambil kira produksi yang menawarkan pekerjaan kepada golongan itu dan kos penyediaan kemudahan bersesuaian.
Azmir Saifuddin berkata cadangan pemberian kuota atau mata tambahan kepada produksi yang melibatkan bakat dan kru OKU juga boleh dipertimbangkan melalui sesi libat urus bersama-sama komuniti OKU, MAB, persatuan industri dan pihak berkaitan.
“Pada pandangan saya, mekanisme yang berkesan perlu melihat mutu penglibatan tersebut. Kita perlu menilai sama ada seseorang diberikan tugas yang bermakna, bayaran yang setimpal, sokongan untuk bekerja dan peluang membina pengalaman profesional.
“Kehadiran nama dalam senarai pelakon, kru belum menggambarkan tahap keterangkuman sesebuah produksi,” katanya.
Beliau berkata FINAS turut terbuka untuk bekerjasama dengan MAB serta institusi latihan bagi mengenal pasti bakat dan menyediakan latihan untuk OKU penglihatan mengikut kemahiran, minat dan keperluan industri, termasuk dalam bidang penulisan skrip, lakonan, suara latar dan kerja audio.
Azmir Saifuddin berkata FINAS berperanan membuka jaringan dan memudah cara peluang, manakala penempatan pekerjaan memerlukan kerjasama majikan, padanan kemahiran serta sokongan berterusan bagi memastikan bakat OKU mendapat pekerjaan, menerima imbuhan setimpal dan membina kerjaya dalam industri.
Beliau berkata FINAS pada Februari lepas turut melaksanakan Bengkel Kreatif OKU: Vokal dan Lakonan Asas (Drama Radio) sebagai antara usaha berkaitan pembangunan bakat.
“Ukuran kejayaan kita ialah apabila bakat OKU mendapat peluang bekerja, menerima imbuhan yang setimpal dan membina kerjaya dalam industri,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) Datuk Afdlin Shauki berkata bidang penulisan dan lakonan menawarkan peluang kepada OKU penglihatan untuk menyerlahkan bakat, manakala pengarahan mempunyai cabaran tersendiri kerana banyak bergantung pada aspek visual.
Beliau berkata golongan itu perlu diberi ruang untuk membuktikan kemampuan melalui karya sendiri, termasuk menghasilkan video ringkas menggunakan telefon pintar bagi mengetengahkan idea dan kreativiti mereka.
“Sekarang ini bukan macam dulu. Pakai telefon sahaja dahulu dan tunjukkan apa yang anda mahu buat. Kalau orang yang mempunyai masalah penglihatan dan dia rasa dia boleh buat, buktikan dengan membuat cerita mudah menggunakan telefon. Selepas itu dia boleh tunjuk kepada orang supaya mereka faham apa yang cuba disampaikan,” katanya.
Afdlin berkata bakat perlu kekal menjadi pertimbangan utama dalam pemilihan pelakon, dan OKU penglihatan tidak seharusnya terhad pada watak yang menggambarkan ketidakupayaan mereka semata-mata.
-- BERNAMA