Am 19/10/2026 11:08 AM

Penyelidikan Bukan Sekadar Penerbitan: Dari Ilmu Kepada Impak

Oleh Prof Ir Dr Ahmad Ashrif A Bakar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Penyelidikan Bukan Sekadar Penerbitan: Dari Ilmu Kepada Impak

Apabila sesebuah universiti mengumumkan peningkatan jumlah penerbitan, sitasi atau geran penyelidikan, komuniti akademik melihatnya sebagai tanda kemajuan.

Namun, di luar kampus, persoalannya mungkin lebih mudah: apakah semua pencapaian itu akhirnya membawa perubahan kepada masyarakat, industri atau negara?

Soalan ini wajar kerana universiti memainkan peranan yang jauh lebih besar daripada sekadar menjadi tempat pengajaran dan pembelajaran.

Universiti membangunkan bakat, menjana ilmu, menyokong inovasi, membentuk wacana, membantu pembangunan dasar serta menyumbang kepada penyelesaian pelbagai cabaran masyarakat, industri dan negara.

Dalam konteks penyelidikan, orang awam dan pemegang taruh lazimnya lebih mudah melihat hasil yang bersifat nyata.

Produk baharu, teknologi, paten, inovasi atau penyelesaian yang boleh digunakan sering dianggap sebagai bukti paling jelas bahawa sesuatu penyelidikan telah berjaya.

Namun, nilai penyelidikan sebenarnya jauh lebih luas. Ada penyelidikan yang menghasilkan pengetahuan baharu, memperbaiki kaedah sedia ada, membentuk garis panduan, menyokong dasar, memperkukuh amalan profesional, meningkatkan kefahaman masyarakat atau membangunkan kepakaran dan bakat.

Penyelidikan asas pula mungkin tidak menghasilkan aplikasi segera, tetapi boleh menjadi asas kepada penemuan dan teknologi yang hanya muncul bertahun-tahun kemudian.

Ini bermakna kejayaan penyelidikan tidak semestinya dapat dilihat melalui satu bentuk output sahaja.

Bagi komuniti akademik, penerbitan ilmiah merupakan antara saluran penting untuk berkongsi pengetahuan. Melaluinya, hasil penyelidikan dapat dinilai oleh rakan sebidang, diperdebatkan, digunakan dan dikembangkan oleh komuniti ilmiah.

Penerbitan dalam jurnal yang berkualiti juga mencerminkan ketelitian, keaslian dan kekuatan sesuatu penyelidikan.

Atas sebab itu, penerbitan, sitasi, geran, harta intelek, kolaborasi dan penyeliaan menjadi antara petunjuk penting dalam menilai prestasi akademik dan institusi. Semua ini mempunyai peranan dan nilainya.

 

Nilai Ilmu Kepada Masyarakat dan Negara

Namun, cabaran sebenar mungkin bukan pada banyaknya penerbitan, tetapi pada sejauh mana ilmu yang diterbitkan terus bergerak selepas itu.

Di luar akademia, masyarakat mahu mengetahui manfaat yang diterima. Industri mahu melihat masalah apa yang boleh diselesaikan.

Agensi dan pembuat dasar pula mahu memahami bagaimana pengetahuan baharu boleh membantu menghasilkan keputusan yang lebih baik.

Perbezaan ini tidak bermaksud satu perspektif lebih tepat daripada yang lain. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa kejayaan penyelidikan perlu dilihat melalui hubungan yang lebih jelas antara penciptaan ilmu, perkongsian ilmu dan penciptaan nilai.

 

KPI Sebagai Panduan, Bukan Matlamat

Dalam realiti akademia, kita bekerja dalam ekosistem yang mempunyai sasaran dan petunjuk prestasi. KPI membantu institusi menetapkan keutamaan, memantau kemajuan dan memastikan akauntabiliti.

Namun, KPI tidak semestinya mampu menangkap keseluruhan nilai sesuatu penyelidikan.

KPI sepatutnya menunjukkan bahawa penyelidikan sedang bergerak ke arah tujuan yang betul, bukan menggantikan tujuan itu sendiri.

Dalam kesibukan memenuhi pelbagai tuntutan, kita mungkin lebih cepat bertanya, “Bolehkah kajian ini diterbitkan?”, “Jurnal mana yang sesuai?” atau “Apakah output yang boleh dihasilkan?”

Semua soalan ini relevan. Namun, mungkin ada baiknya kita menambah beberapa soalan lain.

Masalah apa yang sedang cuba kita fahami atau selesaikan? Siapa yang memerlukan pengetahuan ini? Apakah nilai yang berpotensi terhasil? Dan bagaimana hasilnya boleh bergerak lebih jauh selepas dikongsi melalui penerbitan?

Soalan-soalan seperti ini tidak mengurangkan kepentingan penerbitan. Sebaliknya, ia memberikan tujuan yang lebih besar kepada penerbitan itu sendiri.

 

Menghubungkan Kecemerlangan Dengan Impak

Hala tuju pendidikan tinggi Malaysia juga semakin jelas bergerak ke arah penyelidikan berimpak.

Malaysia Higher Education Blueprint 2026–2035 memperkenalkan penilaian penyelidikan berasaskan impak, termasuk pendekatan seperti return on value, bagi melihat dengan lebih menyeluruh nilai yang terhasil daripada penyelidikan kepada masyarakat, industri dan negara.

Perkembangan ini selari dengan kecenderungan antarabangsa yang semakin melihat kecemerlangan ilmiah bersama manfaat yang lebih besar kepada masyarakat.

Justeru, cabarannya bukan untuk memilih antara penerbitan dan impak. Cabarannya ialah bagaimana kita menghubungkan kedua-duanya dengan lebih baik.

Kita sudah mempunyai budaya akademik yang kuat dalam menghasilkan penerbitan berkualiti dan menyasarkan jurnal bertaraf tinggi. Usaha ini memerlukan disiplin, ketelitian, metodologi yang kukuh dan sumbangan ilmu yang jelas.

Yang perlu terus diperkukuh ialah budaya penyelidikan yang menghubungkan kecemerlangan akademik dengan nilai yang lebih luas kepada masyarakat, industri dan negara.

Penerbitan bertaraf tinggi dan penyelidikan berimpak tinggi tidak seharusnya bergerak pada dua laluan yang berasingan. Kekuatan sebenar akademia terserlah apabila kedua-duanya bertemu.

Akhirnya, kejayaan penyelidikan bukan hanya tentang sejauh mana ia berjaya diterbitkan, tetapi sejauh mana ilmu yang diterbitkan itu mampu bergerak, digunakan dan mencipta perubahan.

Kerana penerbitan memberi suara kepada ilmu, tetapi impak menentukan sejauh mana suara itu membawa perubahan.

-- BERNAMA

 

Prof Ir Dr Ahmad Ashrif A Bakar ialah Pengarah di Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik, Universiti Kebangsaan Malaysia.