Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil
JAKARTA, 14 Okt (Bernama) -- Tourism Malaysia mempergiat usaha menarik lebih ramai pelancong Indonesia ke Malaysia serta mengukuhkan hubungan perniagaan antara penggiat industri pelancongan kedua-dua negara menerusi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026-2027 yang sedang berlangsung.
Menerusi jerayawara perniagaan ke perniagaan (B2B) Malaysia Travel Connect, agensi itu turut berhasrat memperkenalkan produk dan perkhidmatan pelancongan baharu kepada pasaran serantau di seluruh Indonesia.
Jerayawara berkenaan diadakan di beberapa bandar di wilayah tengah Indonesia, meliputi Balikpapan, Manado dan Denpasar.
Pengarah Tourism Malaysia Jakarta Hairi Mohd Yakzan berkata ia merupakan kali pertama agensi berkenaan menganjurkan aktiviti promosi di Manado.
"Kami melihat potensi besar dalam pasaran ini," kata beliau ketika program berkenaan berlangsung di Manado, Sulawesi Utara pada Selasa, menurut kenyataan Tourism Malaysia.
Hairi berkata sebelum pandemik COVID-19, terdapat penerbangan terus antara Manado dan Malaysia, namun perkhidmatan itu telah dihentikan.
Bagaimanapun, beliau berkata bandar itu masih mempunyai potensi besar sebagai pasaran pelancongan Malaysia.
Menurut beliau, Malaysia menawarkan pelbagai pengalaman pelancongan termasuk percutian keluarga, gastronomi, pelancongan perubatan, warisan budaya dan alam semula jadi.
Dianjurkan dengan kerjasama konsortium Mitra Travel, jerayawara itu menyediakan platform kepada penggiat industri pelancongan Malaysia untuk berinteraksi dengan ejen pelancongan Indonesia, memperluas rangkaian perniagaan serta memperkukuh promosi produk pelancongan Malaysia di pasaran serantau.
Menurut Tourism Malaysia, Indonesia menyumbang 4.3 juta pelawat ke Malaysia pada 2025, disokong oleh lebih 700 penerbangan terus setiap minggu.
Malaysia menyasarkan ketibaan 47 juta pelawat antarabangsa dan hasil pelancongan sebanyak RM329 bilion pada 2026, dengan lebih 320 acara serta festival dirancang sepanjang tahun menerusi kempen Tahun Melawat Malaysia.
-- BERNAMA