SHAH ALAM, 14 Okt (Bernama) -- Polis sedang memburu lima lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki yang dikurung dan diseksa akibat perselisihan faham serta masalah peribadi bulan lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kes jenayah dan narkotik, selain turut dikenal pasti terlibat dengan aktiviti gengsterisme.
Beliau berkata suspek juga dipercayai mempunyai kaitan dengan 15 individu lain yang terlibat dalam kes berkenaan membabitkan jenayah berasingan, termasuk melarikan mangsa, pembunuhan dan kesalahan berkaitan senjata api.
Menurut Shazeli, siasatan mendapati mangsa warga tempatan berusia 42 tahun sebelum itu dilarikan beberapa individu menggunakan sebuah kereta di kawasan Ampang Waterfront antara pukul 4 hingga 4.30 pagi pada 24 Sept lepas.
“Isteri mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kehilangan suaminya sebelum pihak polis melancarkan operasi pencarian dan pengesanan.
“Berdasarkan laporan polis yang diterima, kami menjalankan operasi sehingga membawa kepada beberapa siri tangkapan awal. Pada 27 Sept, polis telah dibawa ke sebuah lokasi di sekitar Semenyih yang menjadi tempat mangsa dibunuh dan ditanam,” katanya.
Shazeli berkata demikian pada sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata mangsa yang bekerja sendiri mengenali suspek yang terlibat dalam kejadian berkenaan selain turut dikesan mempunyai penglibatan dalam aktiviti gengsterisme.
Menurut Shazeli, mangsa dipercayai dikurung di sebuah premis kediaman lain sebelum dibunuh, namun tempoh sebenar pembunuhan itu berlaku tidak dapat dipastikan dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah akibat beberapa luka disebabkan senjata tajam pada bahagian leher.
“Berdasarkan kecederaan yang ditemukan pada tubuh mangsa, keadaan mangsa menunjukkan perkara sedemikian (diseksa). Selain luka pada bahagian leher, terdapat pelbagai kecederaan lain.
“Penahanan 15 individu yang dilakukan antara 24 hingga 27 Sept itu melibatkan 12 lelaki dan seorang wanita warga tempatan serta dua lelaki warga asing berusia antara 20 hingga 48 tahun,” katanya.
Shazeli berkata semakan rekod lampau mendapati sebahagian daripada individu yang ditahan mempunyai rekod jenayah dan kesalahan berkaitan narkotik. Polis turut merampas dua senapang, sebuah kereta dan cangkul yang dipercayai digunakan untuk menanam mangsa.
Beliau berkata kesemua 15 suspek berkenaan telah dituduh di mahkamah pada 13 Okt lepas merangkumi kes melarikan orang, tiga suspek dituduh mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
“Bagi kes pembunuhan pula, dua suspek dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan manakala tiga lagi dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Bagi kesalahan berkaitan senjata api, tiga suspek dituduh mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, dibaca bersama Seksyen 36(1) akta sama manakala dua lagi suspek warga asing dituduh mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Shazeli berkata pihaknya percaya lima suspek yang masih diburu berada di dalam negara dan akan berkongsi butiran individu yang dikehendaki bagi membantu usaha mengesan mereka.
Beliau pada masa sama turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengetahui sebarang aktiviti mencurigakan, terutama melibatkan ancaman keselamatan dan penggunaan senjata api.
-- BERNAMA