Am 15/10/2026 03:57 PM

Coca-Cola, UMS Lancar Program Bina Juara Perkasa Bola Sepak Sabah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Coca-Cola, UMS Lancar Program Bina Juara Perkasa Bola Sepak Sabah
Timbalan Ketua Menteri II Sabah Datuk Seri Masidi Manjun melakukan sepakan bola pada perasmian program Bina Juara anjuran Coca-Cola di Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini. Turut hadir, Pengarah Kanan Dasar Awam Coca-Cola ASEAN dan Pasifik Selatan Claudia Chan (empat, kiri).

KOTA KINABALU, 14 Okt (Bernama) -- Coca-Cola dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) melancarkan program pembangunan bola sepak akar umbi, “Coca-Cola: Bina Juara” bagi memperluas akses pemain muda di Sabah kepada teknologi prestasi dan sains sukan.

Pengarah Kanan Dasar Awam Coca-Cola ASEAN dan Pasifik Selatan Claudia Chan berkata program itu, membantu pemain muda memahami prestasi permainan mereka menerusi teknologi dan analisis data bertaraf profesional.

“Program ini memberi tumpuan kepada tiga penilaian utama, iaitu ves penjejakan prestasi Sistem Kedudukan Sejagat (GPS), analisis perlawanan kecerdasan buatan (AI) dan ujian prestasi bola pintar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian program berkenaan oleh Timbalan Ketua Menteri II Sabah Datuk Seri Masidi Manjun di UMS, di sini hari ini.

Chan berkata ketiga-tiga teknologi itu, membolehkan pemain memperoleh maklumat tepat mengenai kecergasan fizikal, pergerakan serta pemahaman taktikal bagi meningkatkan prestasi di dalam dan luar padang.

Inisiatif itu bertujuan membuka lebih banyak peluang kepada golongan belia, khususnya yang kurang berkemampuan untuk merasai sendiri akses kepada kemudahan sains sukan moden.

“Dengan kerjasama UMS dan pihak berkepentingan, kami berharap dapat membina keyakinan, disiplin serta impian dalam kalangan generasi baharu bakat bola sepak Sabah,” katanya.

Chan berkata program berkenaan turut mendedahkan jurulatih komuniti dan sekolah kepada penggunaan data serta peralatan analisis bagi merancang latihan secara berkesan.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan UMS Dr Jorrye Jakiwa berkata pemain muda di Sabah, mempunyai potensi besar namun masih berdepan masalah akses terhad kepada fasiliti sukan profesional.

Beliau berkata program berkenaan berjaya menghimpunkan lapan pasukan belia melibatkan pemain berusia antara 16 hingga 21 tahun daripada pelbagai sekolah, akademi dan kelab komuniti di seluruh negeri.

“Melalui program ini, peserta dan jurulatih diperkenalkan kepada kaedah yang dapat membantu mereka membuat keputusan berdasarkan data, untuk terus memperbaiki corak permainan masing-masing,” katanya.

Jorrye berkata peserta turut berpeluang menimba pengalaman daripada bekas pemain Sabah FC Harith Naem dan Muhammad Rozaimi Abdul Rahman, serta bekas jurulatih pasukan itu Jelius Ating.

Beliau berkata satu penilaian susulan dijadual diadakan pada 2027, bagi membolehkan pemain serta jurulatih menilai perkembangan prestasi masing-masing secara berterusan.

Dalam pada itu, Masidi berkata penggunaan sains sukan dan teknologi moden perlu diperkasakan, bagi melahirkan lebih ramai atlet bola sepak Sabah bertaraf antarabangsa.

“Sabah mempunyai pemain berbakat dan jurulatih berkualiti, namun penggunaan teknologi serta peralatan sokongan perlu ditambah baik, bagi memaksimumkan potensi mereka,” katanya.

Beliau berharap UMS dan Coca-Cola dapat meneruskan inisiatif itu secara sistematik pada masa akan datang, bagi memperkukuh program pembangunan bola sepak di negeri berkenaan.

“Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah menambah baik serta memanfaatkan sepenuhnya kemudahan teknologi sains sukan untuk meningkatkan prestasi kita,” katanya.

-- BERNAMA