Am 14/10/2026 04:59 PM

Laksana PdPR Ketika Jerebu Langkah Wajar - Ibu Bapa

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Laksana PdPR Ketika Jerebu Langkah Wajar - Ibu Bapa
Guru Sekolah Kebangsaan Taman Tawau Nurul Amirah Abdul Rahman memberikan soalan secara dalam talian kepada pelajarnya sewaktu mengadakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berikutan penutupan sekolah di seluruh daerah Tawau akibat jerebu

TAWAU, 14 Okt (Bernama) -- Ibu bapa menyifatkan penutupan sementara sekolah akibat jerebu dan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebagai langkah wajar bagi melindungi kesihatan anak-anak susulan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di daerah itu mencatatkan tahap tidak sihat sejak dua hari lepas.

Penjawat awam Asmah Asmuni, 43, berkata langkah pantas Kementerian Pendidikan (KPM) itu dapat menjamin kesihatan anak-anak dan guru.

“Bacaan IPU meningkat sejak beberapa hari lepas, saya bimbang kesihatan dua anak berumur 10 dan 9 tahun yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Kabota terjejas.

“Tindakan penutupan sementara akibat jerebu ini adalah wajar, malah anak-anak saya tidak menghadapi masalah kemudahan Internet dan telefon pintar untuk mengikuti PdPR,” katanya kepada Bernama.

Tindakan itu turut disokong suri rumah Nur Hazlinda Meruddin, 35, yang menyifatkan keputusan KPM itu sebagai satu langkah baik dalam memastikan kesihatan anak-anak tidak terjejas.

“Saya bersetuju dengan pelaksanaan PdPR kerana keadaan jerebu yang semakin teruk boleh menjejaskan kesihatan anak-anak, lebih-lebih lagi dua anak lelaki saya adalah murid tahun enam dan empat di SK Muhibbahraya adalah kanak-kanak yang aktif.

“Dalam PdPR ini, anak-anak saya belajar dengan sepupu mereka, jadi mereka saling membantu dalam pelajaran,” katanya.

Pekerja swasta Nurlia Abdullah, 40, turut menyokong tindakan penutupan sementara sekolah kerana khuatir kesihatan anak lelakinya yang berumur tujuh tahun dan bersekolah di SK Pasir Putih terjejas.

Sementara itu, guru SK Taman Tawau Nurul Amirah Abdul Rahman, 33, berkata kelas PdPR dilaksanakan bagi memastikan pembelajaran anak-anak tidak terhenti.

“Ini bukan kali pertama guru melaksanakan PdPR, saya sentiasa bersedia mengajar, pagi ini saya mengajar kelas Muzik manakala sebelah petang nanti kelas Bahasa Inggeris.

“Bagi memastikan murid-murid memasuki kelas PdPR, saya mendapatkan kerjasama dan bantuan ibu bapa,” katanya.

Semalam, KPM mengarahkan semua sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Tawau ditutup sementara hari ini berikutan situasi jerebu dan bacaan IPU yang tidak sihat di daerah berkenaan.

-- BERNAMA