Am 14/10/2026 04:36 PM

Kes Pelupusan Tanah: Pengerusi Agensi Kerajaan Didakwa Esok

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kes Pelupusan Tanah: Pengerusi Agensi Kerajaan Didakwa Esok

GEORGE TOWN, 14 Okt (Bernama) -- Seorang pengerusi agensi kerajaan bergelar Datuk akan didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, esok bagi kes disyaki menyalahgunakan kedudukan berkaitan urusan pelupusan tanah.

Pengerusi agensi kerajaan berusia lingkungan 50-an itu sebelum ini direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 21 Ogos lepas bersama dua pengarah syarikat, seorang pengurus teknikal dan seorang kerani selepas ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat suruhanjaya itu pada 20 Ogos.

Menurut sumber, individu berkenaan dipercayai menyalahgunakan kedudukannya ketika itu sebagai Timbalan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah untuk meluluskan penjualan lapan lot tanah di Seberang Perai Selatan pada 2015 kepada sebuah syarikat yang disyaki milik sekutunya.

Tanah berkenaan dipercayai dijual kepada sebuah syarikat milik sekutunya pada harga jauh lebih rendah berbanding harga pasaran membabitkan nilai kerugian kira-kira RM1.96 juta.

Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA