KUCHING, 29 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof bersedia membantu Satok Start-Up dan Digital Centre menjalin kerjasama dengan Microsoft bagi mempertingkatkan latihan kemahiran digital dalam kalangan masyarakat setempat.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kerjasama itu akan membuka peluang kepada masyarakat, khususnya golongan muda, untuk menguasai teknologi digital termasuk kecerdasan buatan (AI), sekali gus meningkatkan kemahiran dan peluang pekerjaan.
Katanya penguasaan teknologi digital penting bagi memastikan masyarakat tidak ketinggalan dalam perkembangan teknologi semasa, termasuk AI dan Internet benda (IoT), yang semakin mempengaruhi pelbagai sektor.
"Saya percaya Microsoft boleh membantu kita mengenal pasti bidang yang boleh dipertingkatkan, termasuk melalui program latihan yang disediakan di pusat ini.
"Insya-Allah, kita boleh melaksanakan perkara tersebut dan saya akan membantu dalam usaha berkenaan kerana penguasaan bidang teknologi ini amat penting bukan sahaja penting untuk menjalankan perniagaan, malah untuk membuka peluang kepada anak-anak muda kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Satok Startup and Digital Centre di sini hari ini yang turut dirasmikan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Fadillah berkata golongan muda yang memiliki kepakaran serta pensijilan profesional, seperti Microsoft, mempunyai peluang lebih cerah untuk memperoleh pekerjaan yang lebih baik, selaras dengan permintaan tenaga kerja yang semakin memerlukan kemahiran digital.
"Pada masa ini, kita bercakap mengenai keperluan grid pintar, sistem penghantaran yang lebih cekap serta pemantauan yang lebih berkesan, khususnya bagi menghadapi permintaan tenaga pada masa hadapan, termasuk daripada pusat data dan sektor-sektor berkaitan," katanya.
Majlis tersebut turut menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) termasuk antara Kelab Sukan Kebajikan (KSK) Satok dengan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
Selain itu, MoU turut dimeterai antara Biro Pendidikan DUN Satok dengan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) dan Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS), dengan matlamat memperkasakan pembangunan bakat digital serta memperkukuh peluang ekonomi dan keusahawanan tempatan.
Sarawak kini sedang memasuki kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13 selepas hari penamaan calon semalam.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal pada 8 Dis manakala hari pengundian pada 12 Dis ini dan untuk berita terkini PRN Sarawak ke-13 boleh layari menerusi https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/.
-- BERNAMA