Am 29/11/2026 11:15 PM

Penduduk Petaling Jaya Gesa MBPJ Baik Pulih Laluan Pejalan Kaki, Tangani Parkir Sembarangan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Penduduk Petaling Jaya Gesa MBPJ Baik Pulih Laluan Pejalan Kaki, Tangani Parkir Sembarangan

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Penduduk di sekitar Petaling Jaya menggesa pihak berwajib mengambil tindakan segera membaik pulih laluan pejalan kaki yang rosak serta menangani masalah parkir kenderaan secara sembarangan yang menjejaskan keselesaan dan keselamatan orang ramai.

Timbalan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Seksyen 4A, A. Ashokumar, 73, berkata kedua-dua masalah tersebut, selain percambahan aktiviti perniagaan di kawasan perumahan semakin membimbangkan penduduk setempat, khususnya melibatkan Jalan 4/47, Jalan 4/48A, Jalan 4/48B dan Jalan 4/48C.

Beliau berkata ketiadaan kawasan parkir khusus menyebabkan kereta dan motosikal diletakkan secara tidak teratur sehingga sebahagian badan kenderaan menghalang jalan serta diletakkan di atas laluan pejalan kaki, sekali gus menyukarkan pergerakan keluar masuk penduduk setiap hari.

Menurutnya, penghadang sementara menggunakan kon plastik pernah dipasang di Jalan 4/47 berhampiran sebuah premis makanan bagi menghalang kenderaan diletakkan di bahagian berkenaan, namun ia dialihkan penunggang motosikal untuk meletakkan kenderaan mereka.

"Keadaan semakin buruk dari hari ke hari dan penduduk sememangnya tidak selesa kerana laluan terhalang. Sekurang-kurangnya perlu ada laluan pejalan kaki yang selesa untuk orang ramai berjalan, bukannya yang pecah-pecah dan dijadikan tempat parkir kenderaan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Ashokumar berkata percambahan pelbagai aktiviti perniagaan yang beroperasi dari rumah di kawasan perumahan turut menyumbang kepada kesesakan serta masalah parkir sembarangan di kawasan itu.

Seorang lagi penduduk, T. Kanagarajah, 67, pula berkata laluan pejalan kaki dari kawasan Hospital Assunta menuju ke Bandar Baru Petaling Jaya melalui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya hingga ke Jalan Penchala didapati rosak teruk dan tidak mesra warga emas serta Orang Kurang Upaya (OKU).

Menurutnya, kerosakan paling ketara termasuk permukaan laluan yang retak dan pecah, besi tersembul keluar, penutup utiliti rosak selain saluran longkang tidak bertutup, manakala kenderaan termasuk lori diletakkan secara sembarangan di simpang masuk Jalan 4/48B serta sepanjang Jalan Penchala.

Kanagarajah berkata keadaan itu memaksa pengguna kerusi roda termasuk warga emas bergerak menggunakan jalan raya utama kerana ketiadaan laluan pejalan kaki yang selamat.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membaik pulih laluan pejalan kaki yang rosak merangkumi Bandar Baru Petaling Jaya hingga ke PJ Old Town bagi menjadikan bandar raya itu mesra warga emas dan OKU serta selamat untuk kanak-kanak dan golongan wanita.

Pada masa sama, penduduk berharap pihak berkuasa tempatan dapat turun padang meninjau keadaan sekitar serta melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan penguatkuasaan sewajarnya demi keselamatan komuniti setempat. 

-- BERNAMA