KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Syarikat Bumiputera dalam industri automotif perlu berkembang ke sektor pembuatan bagi membolehkan mereka menjadi pembekal kepada pengeluar peralatan tulen (OEM), termasuk pengeluar antarabangsa, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Bagi mencapai matlamat itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata syarikat tempatan perlu meningkatkan kepakaran teknikal, memenuhi piawaian industri serta membuktikan keupayaan membekalkan produk secara konsisten bagi mendapatkan kepercayaan pengeluar utama.
Menurutnya, kejayaan kerjasama dalam sektor perkhidmatan selepas jualan menerusi Program Pembangunan Usahawan Automotif MARA-PETRONAS (PUMP), yang mempunyai rangkaian 66 PETRONAS AutoExpert dan 15 PETRONAS MotoExpert, wajar dijadikan model bagi memperluas kerjasama dalam sektor pembuatan.
"Saya mahu MARA bekerjasama dengan pengeluar kenderaan dan pembekal utama untuk mengenal pasti komponen yang boleh dibangunkan oleh syarikat tempatan.
“Libatkan syarikat kita dari peringkat reka bentuk dan ujian sehingga produk mereka layak dipertimbangkan untuk kontrak bekalan. Di situlah pemindahan teknologi boleh membuka laluan ke pasaran serantau dan global," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Ekosistem Automotif MARA (MATEC) 2026 di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, malam ini, yang turut dihadiri Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata penglibatan syarikat Bumiputera sejak peringkat awal pembangunan produk adalah selaras dengan pendekatan 3P iaitu Penyertaan, Pemilikan dan Penguasaan.
Menurut beliau, pendekatan itu menekankan usaha melahirkan usahawan yang bukan sekadar menyertai rantaian bekalan, malah memiliki syarikat berdaya saing serta menguasai teknologi sendiri.
Beliau berkata peralihan industri kepada kenderaan elektrik (EV), sistem elektronik dan perisian, turut membuka peluang baharu yang perlu dimanfaatkan syarikat Bumiputera, khususnya ketika pengeluar sedang membentuk rantaian bekalan bagi generasi kenderaan seterusnya.
Menyentuh hala tuju strategik MARA dalam industri automotif, Ahmad Zahid mahu segala kerjasama yang dibina oleh institusi itu disusuli dengan pelaksanaan projek sebenar bersama pihak industri, dengan menumpukan pada tiga perkara utama.
"Pertama, bangunkan lebih ramai usahawan automotif berasaskan teknologi. Dalam bidang seperti perisian automotif (automotive software), sistem pengurusan bateri dan pengecasan EV, saya mahu MARA bantu usahawan muda membangunkan produk dan menemukan mereka dengan syarikat yang bersedia menguji produk tersebut,” katanya.
Ahmad Zahid juga mahu MARA memperkukuh pemilikan Bumiputera dalam industri automotif dengan meneliti peluang usaha sama dan penyertaan ekuiti dengan pengeluar utama.
“Pilih kerjasama yang memberi syarikat Bumiputera peranan dalam pembangunan produk serta peluang membina kepakaran dan memiliki kepentingan dalam perniagaan itu.
“Dan seterusnya, jadikan institusi TVET MARA sebagai tempat industri menyelesaikan masalah sebenar (solving real problems). Saya mahu syarikat automotif membawa masalah sebenar dari bengkel dan kilang kepada tenaga pengajar serta pelatih kita," katanya.
Tambah beliau, apabila tenaga pengajar dan pelatih berjaya menghasilkan prototaip yang berpotensi, mereka perlu diberi peluang untuk mengujinya dalam operasi sebenar sebelum dikomersialkan ke pasaran.
Sementara itu, bagi menyokong usaha menaik taraf fasiliti dan mendapatkan peralatan moden, beliau memaklumkan MARA menyediakan pembiayaan sehingga RM1 juta kepada pengusaha Bumiputera yang layak menerusi skim MARA Integrated Smart Auto (MISA).
“Saya mahu MARA terus bersama mereka (pengusaha). Bantu mereka memperkukuh operasi, mendapatkan pelanggan baharu dan merebut peluang kontrak yang lebih besar,” katanya.
Mengulas pencapaian MATEC 2026, Ahmad Zahid berkata rekod jualan melebihi RM63.7 juta tahun ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan, sekali gus mendorong sasaran penganjuran tahun hadapan ditingkatkan kepada RM100 juta.
-- BERNAMA