Dunia 29/11/2026 11:48 PM

Marquez Akhiri Kerjaya MotoGP Dengan Kedudukan Podium Di Valencia

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Marquez Akhiri Kerjaya MotoGP Dengan Kedudukan Podium Di Valencia
Pelumba Ducati Lenovo Team Marc Marquez meraikan kemenangan meraih tempat kedua perlumbaan MotoGP Grand Prix Valencia di litar Ricardo Tormo pada Ahad 29 Nov. 2026. (AP Photo/Alberto Saiz)

MADRID, 29 Nov (Bernama-PA Media/dpa) -- Juara dunia Marc Marquez mengakhiri kerjaya cemerlangnya dalam MotoGP dengan menduduki tempat kedua pada Grand Prix Valencia yang merupakan perlumbaan penutup musim, lapor PA Media/dpa.

Pelumba Ducati dari Sepanyol itu yang merangkul gelaran dunia kelapan di Portugal meskipun perlu menjalani pembedahan bahu smasa kempen musim ini, membuat pengumuman mengejut pada Jumaat bahawa beliau akan bersara selepas pusingan terakhir di Cheste. Beliau memulakan perlumbaan pada Ahad dari barisan hadapan.

Marquez menduduki tempat ke-13 dalam perlumbaan Sprint yang tertangguh pada Sabtu selepas motosikalnya menjadi terlalu panas lalu terbakar ketika percubaan pertama untuk memulakan perlumbaan dibatalkan, memaksanya menggunakan motosikal gantian sekali gus dikenakan penalti dua pusingan panjang (double long lap penalty).

Bagaimanapun, tiada insiden sedemikian berlaku dalam perlumbaan utama pada Ahad apabila Raul Fernandez mendahului perlumbaan sejak awal dan memastikan kemenangan untuk Aprilia yang memenangi kejuaraan pengeluar MotoGP buat kali pertama, dengan Marquez ketinggalan sedikit lebih daripada dua saat, manakala Pedro Acosta (KTM) yang bakal menyertai Ducati menduduki tempat ketiga.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa