KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengucapkan tahniah kepada ahli akademik Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Datuk Dr Norazah Mohd Suki atas kejayaannya tersenarai dalam World’s Top 2% Scientists List selama lapan tahun berturut-turut dari 2019 hingga 2026.
Beliau berkata pencapaian itu, berdasarkan senarai diterbitkan Universiti Stanford dan Elsevier, turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai rekod kebangsaan bagi wanita paling lama tersenarai secara berturut-turut.
“Semoga pencapaian ini mendorong lebih ramai penyelidik muda Malaysia untuk menghasilkan penyelidikan yang menyumbang kepada kemajuan negara dan diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut profil rasmi UUM, Norazah merupakan profesor dalam bidang pemasaran dan e-dagang di Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB). Beliau memperoleh ijazah doktor falsafah dalam bidang e-dagang dan pemasaran daripada Universiti Multimedia (MMU) pada 2006.
UUM sebelum ini memaklumkan bahawa Norazah tersenarai dalam kategori impak sitasi bagi satu tahun untuk kali kelima berturut-turut pada 2023.
Profil rasmi universiti itu turut merekodkan penyertaan beliau dalam kategori impak sitasi sepanjang kerjaya bagi edisi 2025, selain menerima pengiktirafan Malaysia Scopus Research Star Award 2025 daripada Elsevier.
-- BERNAMA