Am 29/11/2026 08:41 PM

Southern MADANI Link Solusi Perkukuh Bekalan Elektrik Pantai Timur Sabah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Southern MADANI Link Solusi Perkukuh Bekalan Elektrik Pantai Timur Sabah
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (empat, kiri) pada majlis perasmian Peluncuran Projek Sabah Southern MADANI Link di Kompleks Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah, Sipitang pada 13 Jun, 2026.

KOTA KINABALU, 29 Nov (Bernama) -- Insiden menara penghantaran elektrik T313 tumbang di Ranau sehingga menjejaskan 153,599 pengguna di Pantai Timur mendedahkan kerentanan sistem grid Sabah dan menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk.

Di sebalik keresahan itu, solusi bagi perkara itu sudah mula dilaksanakan Kerajaan Persekutuan bersama dengan Kerajaan Negeri Sabah melalui projek Sabah Southern MADANI Link (SSML) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sipitang pada 13 Jun.

Insiden pada Khamis lepas memutuskan dua talian penghantaran bekalan elektrik ke Pantai Timur yang melalui satu-satunya laluan penghantaran melalui Penampang di Pantai Barat, ke Ranau dan Telupid, sebelum ke daerah di Pantai Timur yang berupaya diselesaikan menerusi pelaksanaan SSML.

SSML merentang talian bervoltan tinggi 275 kilovolt (kV) sepanjang kira-kira 330 kilometer yang merentasi bahagian selatan Sabah untuk menghubungkan Sipitang di Pantai Barat hingga ke Tawau di Pantai Timur, membentuk laluan penghantaran alternatif untuk Sabah.

“Siapa yang hendak datang melabur kalau kawasan kita gelap atau bekalan tidak mencukupi untuk menjaga industri? Oleh itu, kemudahan ini dibina bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negeri dapat dipacu dengan lebih rancak dan segar,” kata Perdana Menteri ketika melancarkan projek tersebut.

SSML yang dimulakan pada 17 Sept tahun lepas dengan Fasa 1A, ketika ini bernilai RM198 juta dan  dijadualkan siap pada 2028, dengan setakat 26 Mei 2026 kemajuan projek mencapai tahap 17 peratus.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal berkata projek itu penting bagi melindungi aktiviti ekonomi, sektor pelancongan serta penyampaian perkhidmatan agensi kerajaan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu yang terletak di Pantai Timur dan bekas Pengarah Hospital Lahad Datu berkata paling penting SSML akan menjamin kelancaran operasi fasiliti kesihatan.

“Fasiliti kesihatan mempunyai pelan mitigasi kecemasan, namun pelaksanaannya mempunyai batasan jika gangguan (elektrik) berlarutan kerana pelan sedia ada biasanya mampu bertahan kira-kira tiga hari.

“Sebab itu kita memerlukan infrastruktur bekalan elektrik lebih stabil bagi mengurangkan risiko terhadap operasi perkhidmatan kesihatan terutama di Pantai Timur,” katanya kepada Bernama.

Justeru, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan menyegerakan kelulusan projek SSML Fasa 1B yang menghubungkan Ulu Padas ke Kalabakan bagi menyediakan laluan bekalan elektrik alternatif ke Pantai Timur.

Beliau berkata walaupun kelulusan Fasa 1A menjadi langkah penting, gangguan bekalan elektrik berulang dalam tempoh setahun termasuk pada 2025 menuntut kerjasama segera Kerajaan Persekutuan serta negeri bagi memperkukuh daya tahan grid.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta semua wakil rakyat tanpa mengira parti membawa isu itu ke Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memastikan usaha mendapatkan kelulusan Fasa 1B menerima sokongan bersama.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan juga berharap SSML dipercepat kerana kebergantungan kepada satu laluan mendedahkan pengguna di Sandakan, Lahad Datu, Semporna, Kunak dan Tawau kepada risiko gangguan akibat tanah runtuh, banjir serta hakisan.

Beliau berkata meskipun kerajaan negeri memohon projek itu diberikan keutamaan sejak kira-kira 15 tahun lepas, Kerajaan MADANI kini meluluskan peruntukan awal bagi Fasa 1A melibatkan laluan Ulu Padas-Sipitang sepanjang kira-kira 60 kilometer.

“Jarak dari Sipitang ke Tawau lebih kurang 330 kilometer dan keseluruhan kos projek ini mencecah RM1.5 bilion. Justeru kita berharap fasa seterusnya hingga ke Tawau dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.

Nizam yang juga ADUN Apas di Pantai Timur menyarankan Sabah Electricity meningkatkan pemeriksaan menara transmisi di kawasan berisiko serta menyalurkan maklumat punca sebenar gangguan dengan lebih pantas bagi mengelakkan spekulasi dalam kalangan masyarakat.

Pada masa sama, beliau menggalakkan penduduk Sabah menyertai Program Solar Rakyat bagi pemasangan sistem solar di kediaman yang bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada bekalan konvensional ketika gangguan, malah memberikan penjimatan jangka panjang.

-- BERNAMA