Am 29/11/2026 08:44 PM

Di Sebalik Kejayaan Genggam Diploma, Nur Aina Nasuha Berdepan Ujian Kesihatan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Di Sebalik Kejayaan Genggam Diploma, Nur Aina Nasuha Berdepan Ujian Kesihatan
Foto: Afifitri Muhammad

KUANTAN, 29 Nov (Bernama) – Kejayaan memperoleh Diploma Perakaunan dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.87 menjadi kenangan manis buat Nur Aina Nasuha Mohd Asri, 21, meskipun kini terpaksa berdepan ujian kesihatan akibat ketumbuhan pada bahagian toraks.

Graduan Kolej Yayasan Pahang itu berkata beliau terpaksa menangguhkan hasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda bagi menumpukan pada menjalani rawatan dan pemulihan.

Nur Aina Nasuha berkata masalah kesihatan itu bermula pada Jun lepas apabila beliau tiba-tiba lemah kaki sebelum disusuli sakit belakang sekali gus mendorongnya mendapatkan pemeriksaan di hospital.

“Pada mulanya, doktor tidak dapat mengesan penyakit saya. Selepas menjalani pemeriksaan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), barulah ketumbuhan itu dikenal pasti dan didapati sudah sebesar 14 sentimeter.

“Saya dimaklumkan ketumbuhan itu telah menekan saraf tunjang sehingga menyebabkan saya tidak boleh berjalan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen 2026 UCYP University dan Kolej Yayasan Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Nur Aina Nasuha merupakan antara 778 graduan daripada pelbagai peringkat pengajian yang diraikan pada majlis konvokesyen itu, yang disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merangkap Pro-Canselor UCYP University.

Beliau kini sedang menunggu keputusan pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer (CT) sebelum doktor pakar menentukan sama ada pembedahan perlu dilakukan, memandangkan prosedur berkenaan turut mempunyai risiko.

Anak kedua daripada empat beradik itu bagaimanapun berazam untuk terus memburu cita-citanya iaitu bekerja sebagai akauntan di sebuah bank sebaik sahaja pulih.

-- BERNAMA