PUTRAJAYA, 29 Nov (Bernama) -- Kerajaan bersetuju supaya semua dokumen pesanan belian (PO) dan sebut harga yang dikeluarkan dalam urusan biasa perniagaan tidak tertakluk kepada duti setem berkuat kuasa serta-merta.
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan ketetapan itu turut terpakai kepada semua dokumen PO dan sebut harga yang dikeluarkan sebelum tarikh pengumuman berkenaan.
Sehubungan dengan itu, komuniti perniagaan tidak perlu mengemukakan dokumen berkenaan kepada HASiL bagi tujuan penyeteman atau pengendorsan.
Menurut HASiL, keputusan itu dibuat susulan kebimbangan dan kekeliruan dalam kalangan komuniti perniagaan berhubung layanan duti setem bagi PO dan sebut harga untuk pembelian serta penghantaran barangan atau perkhidmatan.
"Pada dasarnya, pengenaan duti setem ke atas sesuatu dokumen adalah berdasarkan kandungan dan kesan perundangannya, dan bukan semata-mata berdasarkan nama atau tajuk dokumen tersebut," menurut kenyataan itu.
HASiL memaklumkan dokumen PO atau sebut harga lazimnya mengandungi maklumat seperti jenis, kuantiti, spesifikasi, harga, terma pembayaran dan penghantaran.
"Sekiranya terdapat sebarang kekeliruan berhubung layanan duti setem yang terpakai, pembayar duti digalakkan untuk mendapatkan panduan daripada pihak HASiL berhubung layanan duti setem yang berkaitan," menurut kenyataan itu.
HASiL menyatakan langkah itu mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memudahkan urusan perniagaan serta memastikan kelancaran peralihan kepada Sistem Taksir Sendiri Duti Setem.
Sebarang pertanyaan atau permohonan bantuan boleh dikemukakan menerusi Hasil Contact Centre di talian 03-8911 1000, HASiL Live Chat atau pembantu maya HAFY Tax Assist.
-- BERNAMA