Am 29/11/2026 07:49 PM

Jumlah KIR Miskin Di Terengganu Menurun Kepada 20,900 – JPP

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Jumlah KIR Miskin Di Terengganu Menurun Kepada 20,900 – JPP
Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri (ICU JPM) Terengganu, Datuk Abdul Kahar Abdul Latif (tengah) pada sidang media semasa Program Libat Urus Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu bersama Media di sebuah hotel, hari ini.

KUALA TERENGGANU, 29 Nov (Bernama) -- Jumlah ketua isi rumah (KIR) miskin di Terengganu menurun daripada 37,439 pada awal Januari lepas kepada 20,900 setakat November ini, kata Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Negeri Terengganu Datuk Abdul Kahar Abdul Latif.

Beliau berkata kira-kira RM60 juta diperuntukkan bagi program pembasmian kemiskinan tahun ini, dengan hampir RM49 juta daripadanya dibelanjakan untuk pembinaan rumah keluarga eKasih serta kerja baik pulih kediaman yang uzur dan tidak selesa.

Selain itu, beliau berkata bantuan turut diberikan berdasarkan keperluan keluarga termasuk penyediaan peralatan bagi membantu penerima meningkatkan pendapatan, di samping program kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta tuisyen untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Pada 2026, kita catat pencapaian agak baik iaitu menurunkan jumlah miskin yang ada di Terengganu, manakala status miskin tegar kekal sifar. Inisiatif Sejahtera MADANI melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM52.73 juta telah memberi manfaat langsung kepada 10,061 penerima eKasih menerusi empat kluster utama iaitu perumahan, peningkatan pendapatan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat. 

"Jadi untuk tahun depan kita sasar untuk turunkan KIR miskin kepada tidak melebihi 15,000," katanya selepas Program Libat Urus Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu Bersama Pengamal Media 2026 di sini hari ini.

Abdul Kahar berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Rolling Plan Pertama (RP1) tahun ini, Terengganu telah menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM1.84 billion bagi pelaksanaan 419 projek.

Selain itu, katanya kerajaan pusat turut menyalurkan peruntukan RM110.85 juta bagi 1,486 projek kecil di bawah Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) dan projek peruntukan pembangunan (DE).

"Seiring dengan musim Monsun Timur Laut (MTL), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Terengganu memberi keutamaan tinggi kepada projek kesiapsiagaan banjir dan pengurusan risiko bencana demi menjamin keselesaan serta keselamatan mangsa terjejas.

"Sebagai contoh projek Infrastruktur Pemindahan dan Tebatan: Penyiapan Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Kampung Air Hangat di Hulu Besut bernilai RM750,000 yang dibina dan disiapkan," katanya.

   -- BERNAMA