Am 29/11/2026 07:56 PM

Penduduk Asajaya Harap Pembangunan Tambirat Waterfront Direalisasikan, Pemangkin Ekonomi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Penduduk Asajaya Harap Pembangunan Tambirat Waterfront Direalisasikan, Pemangkin Ekonomi
Suasana Pusat Penjaja Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) berhampiran Tambirat Waterfront .

Oleh Mohd Yusof Saari

KOTA SAMARAHAN, 29 Nov (Bernama) -- Penduduk Kampung Tambirat di Asajaya di sini menaruh harapan tinggi agar pembangunan Tambirat Waterfront dapat direalisasikan semula sebagai pemangkin ekonomi dan pelancongan, sekali gus membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada komuniti yang sebahagian besarnya mengusahakan aktiviti pertanian serta berniaga secara kecil-kecilan.

Harapan mereka semakin menyala susulan persetujuan kerajaan Sarawak pada September lepas untuk meneruskan pembangunan Tambirat Waterfront Fasa 2 dengan kos melebihi RM100 juta melibatkan kawasan sepanjang kira-kira satu kilometer.

Projek itu bukan sahaja dirancang sebagai tarikan pelancongan dan kemudahan komuniti, malah turut berfungsi sebagai benteng hakisan sungai yang lebih menyeluruh bagi melindungi kawasan pesisir kampung berkenaan.

Pengerusi Pusat Penjaja Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Tambirat Asrizal Amran, 46, berkata pembangunan semula Tambirat Waterfront yang tergendala mampu merancakkan ekonomi setempat, khususnya dengan memanfaatkan kewujudan pusat penjaja itu sebagai tarikan perniagaan dan pengunjung.

Beliau berkata penyambungan semula projek itu dilihat mampu melengkapkan ekosistem ekonomi di kawasan berkenaan yang sudah mempunyai pusat penjaja dengan kira-kira 124 gerai menawarkan pelbagai barangan basah dan kering, makanan serta minuman dan perkhidmatan.

“Selepas terbiar agak lama, kita harap pembangunan ini dapat disambung semula mengikut kesesuaian bentuk muka bumi kawasan berkenaan, mengambil kira projek itu yang sebelum ini dilaporkan mengalami masalah sehingga struktur binaan runtuh dan kerja dihentikan.

“Mungkin reka bentuk dahulu kurang sesuai. Jadi, apabila dibangunkan semula kita harap kesesuaian kawasan diambil kira dan pelaksanaannya dipercepatkan,” katanya kepada Bernama di pusat penjaja itu hari ini.

Asrizal berkata pembangunan semula Tambirat Waterfront berpotensi memberi nilai tambah kepada Pusat Penjaja MPKS Tambirat yang mula beroperasi pada November 2023, sekali gus menjadikan kedua-dua kemudahan itu saling melengkapi dalam menarik kehadiran pengunjung.

Harapan sama turut dikongsi Bujang Abang, 60, yang yakin pihak berwajib akan mencari penyelesaian kepada masalah melibatkan projek Fasa 1 bagi memastikan pembangunan Fasa 2 dapat direalisasikan.

Beliau yang menjual kerepek dan produk makanan tempatan, berpendapat amat merugikan sekiranya projek yang berpotensi membawa limpahan ekonomi serta menjadi pemangkin kemajuan Asajaya itu gagal dilaksanakan seperti dirancang, sedangkan kehadiran pengunjung luar mampu meningkatkan pendapatan peniaga dan peluang perniagaan kepada penduduk Tambirat.

Bagi Ogayah Derahman, 55, yang sudah lebih 20 tahun berniaga barangan makanan bermula di tepi jalan sebelum berpindah ke Pusat Penjaja Tambirat, pembangunan waterfront itu merupakan antara impian yang mahu dilihat menjadi kenyataan.

Ibu kepada empat anak itu berkata kemudahan berkenaan berpotensi merancakkan ekonomi setempat menerusi pelbagai aktiviti pelancongan dan komuniti, sekali gus meningkatkan pendapatan peniaga kecil sepertinya yang bergantung kepada kehadiran pelanggan.

Sementara itu, Ketua Kampung Tambirat Lot Zamzari Suut, 56, berkata pembangunan semula Tambirat Waterfront berpotensi mengubah landskap sosial dan ekonomi penduduk kampung yang sebahagian besarnya bergantung kepada aktiviti pertanian.

“Kami di sini berharap pembangunan itu bukan sekadar membawa perubahan fizikal kepada kawasan Tambirat, sebaliknya membuka lebih banyak ruang kepada penduduk tempatan untuk menyertai aktiviti ekonomi baharu tanpa menjejaskan sumber pendapatan tradisional mereka,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kerajaan negeri perlu memastikan projek Fasa 1 dapat diselamatkan, manakala Fasa 2 diteruskan sebagai sebahagian daripada perancangan pembangunan waterfront dan benteng hakisan yang lebih menyeluruh di Kampung Tambirat.

Asajaya ialah satu daripada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kota Samarahan yang menyaksikan penyandangnya, Abdul Karim menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Dapatkan berita terkini PRN Sarawak ke-13 menerusi https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/. 

-- BERNAMA