KOTA KINABALU, 29 Nov (Bernama) -- Pembinaan menara Sistem Pemulihan Kecemasan (ERS) di Ranau berjaya disiapkan petang ini, lebih awal daripada jadual, manakala usaha memulihkan bekalan elektrik ke pantai timur Sabah sedang giat dilaksanakan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata pasukan Sabah Electricity turut selesai menyambung semua konduktor bagi memulihkan talian penghantaran elektrik yang terjejas.
"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga kerja Sabah Electricity atas komitmen, kesungguhan dan pengorbanan mereka dalam melaksanakan kerja-kerja pemulihan ini.
"Kerajaan Negeri memahami kesulitan dialami rakyat sepanjang tempoh gangguan bekalan elektrik ini dan mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat atas kesabaran, sokongan serta kerjasama sepanjang usaha pemulihan dilaksanakan," katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook beliau hari ini.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) atas bantuan dan sokongan dalam usaha pemulihan berkenaan.
Beliau turut menghargai kerjasama Sabah Air Aviation Sdn Bhd, pihak pengurusan Sekolah Kebangsaan Sagindai Baru dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah dalam menjayakan usaha pemulihan itu.
Hajiji berkata kerajaan negeri Sabah akan terus bekerjasama rapat dengan Sabah Electricity bagi memastikan bekalan elektrik di negeri itu lebih stabil, selamat dan boleh dipercayai demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan negeri.
Khamis lepas, menara penghantaran elektrik T313 yang terletak di tebing Sungai Liwagu, Kampung Sagindai Lama, Jalan Ranau-Telupid, tumbang akibat hakisan tebing sungai berikutan hujan berterusan dan arus deras.
Kejadian itu menjejaskan 153,599 pengguna berdaftar, dengan Sabah Electricity menyasarkan bekalan elektrik dipulihkan pada 2 Dis ini atau lebih awal.
-- BERNAMA