Am 29/11/2026 07:52 PM

Fakulti AI Pertama Negara Buka Laluan Anak Tempatan Cipta Teknologi Sendiri

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Fakulti AI Pertama Negara Buka Laluan Anak Tempatan Cipta Teknologi Sendiri

JOHOR BAHRU, 29 Nov (Bernama) – Kira-kira 1,300 pengguna telah memanfaatkan PaddyChat, platform kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan pesawah mendapatkan panduan mengenai serangan perosak dan penyakit tanaman menerusi telefon bimbit.

Platform itu merupakan antara inisiatif pertanian pintar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang melibatkan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) dan Pusat Kecerdasan AI (CAIRO) universiti berkenaan dengan kerjasama Jabatan Pertanian.

Pengalaman UTM membangunkan aplikasi untuk sektor pertanian memberi gambaran tentang kepakaran yang mahu diperluas kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi penubuhan Fakulti AI pertama negara di universiti itu.

Dekan fakulti berkenaan Prof Dr Mohd Naz’ri Mahrin berkata keupayaan membangunkan teknologi sendiri semakin penting bagi Malaysia berikutan penggunaan AI yang meluas dalam sektor seperti pertanian, pembuatan dan perkhidmatan.

“Negara berisiko semakin bergantung pada teknologi luar jika peningkatan permintaan terhadap AI tidak diiringi keupayaan tenaga tempatan untuk membangunkan model dan menambah baik algoritma mengikut keperluan industri,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan fakulti itu dengan peruntukan awal RM20 juta ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada 13 Okt 2023 bagi memperluas penerokaan AI merentas disiplin ilmu.

Mohd Naz’ri berkata sejak fakulti itu ditubuhkan pada 10 Feb 2024, program Sarjana Muda Kecerdasan Buatan dengan Kepujian yang pada mulanya ditawarkan di UTM Kuala Lumpur telah diperluas ke UTM Johor Bahru.

Di UTM Kuala Lumpur, pengambilan pelajar meningkat daripada 114 orang pada sesi 2024/2025 kepada 199 orang pada sesi berikutnya dan 246 orang bagi sesi 2026/2027, lebih dua kali ganda berbanding pengambilan pertama.

UTM Johor Bahru pula menerima kumpulan pertamanya sebanyak 55 pelajar pada sesi 2026/2027, menjadikan jumlah pengambilan di kedua-dua kampus bagi sesi berkenaan sebanyak 301 orang.

Mohd Naz’ri berkata pelajar mengikuti 20 kursus teras yang merangkumi antaranya matematik, pengaturcaraan, pengurusan data dan algoritma sebelum mendalami bidang seperti pembelajaran mesin, penglihatan komputer dan AI generatif.

Beliau berkata sebanyak RM6.61 juta daripada peruntukan awal kerajaan digunakan untuk memperoleh pelayan pengkomputeran berprestasi tinggi bagi membolehkan pelajar dan penyelidik memproses data berskala besar serta melatih dan menguji model AI sendiri.

Secara keseluruhan, RM17.59 juta atau 87.96 peratus daripada peruntukan awal itu telah dibelanjakan, termasuk RM4.64 juta untuk menaik taraf kemudahan di Menara Razak, UTM Kuala Lumpur, antaranya bilik kuliah dan makmal khusus AI.

Antara hasil penyelidikan fakulti yang telah diuji di lapangan ialah sistem kamera pintar berasaskan rel untuk mengesan tanda awal penyakit tanaman menerusi kerjasama dengan KMK Agro Global Sdn Bhd di Banting, Selangor.

Mohd Naz’ri berkata sistem itu menggunakan AI untuk menganalisis imej tanaman yang dirakam kamera bagi membantu petani mengenal pasti tanaman yang menunjukkan tanda penyakit dan memerlukan pemeriksaan lanjut.

Selain penyelidikan, katanya, lebih 2,500 kakitangan sektor awam dan swasta telah mengikuti latihan profesional anjuran fakulti sejak penubuhannya, manakala latihan berkaitan AI itu menjana pendapatan lebih RM1 juta kepada universiti bagi tempoh 2025 hingga 2026.

Beliau berkata latihan kepada pekerja sedia ada penting untuk memenuhi keperluan industri dalam jangka pendek memandangkan pengajian bagi melahirkan graduan baharu mengambil masa beberapa tahun.

Mengenai masa depan AI di Malaysia, Mohd Naz’ri berkata pelaburan dalam pusat data dan infrastruktur digital perlu membuka peluang kepada rakyat tempatan untuk menguasai kepakaran sebagai jurutera, penyelidik dan arkitek sistem.

Beliau berkata kerjasama antara universiti dengan industri perlu memberi peluang kepada tenaga tempatan untuk menjalani latihan menggunakan teknologi sebenar, terlibat dalam projek pembangunan bersama dan mengisi pekerjaan berkemahiran tinggi.

Mohd Naz’ri berkata Malaysia boleh membina kepakaran dalam bidang yang mempunyai kepentingan langsung kepada negara seperti pertanian, kesihatan, pembuatan dan pembangunan teknologi untuk bahasa tempatan.

“Dalam tempoh 10 tahun akan datang, kejayaan Malaysia tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah pengguna AI atau pusat data yang dibangunkan semata-mata, tetapi berdasarkan keupayaan negara melahirkan pakar, membangunkan teknologi AI sendiri serta menghasilkan inovasi yang memberi nilai ekonomi dan sosial,” katanya.

Mengenai penggunaan AI dalam pendidikan tinggi, Ketua Setiausaha KPT Datuk Dr Aminuddin Hassim sebelum ini berkata pendidik perlu menggunakan pertimbangan profesional serta menjaga etika dan integriti akademik ketika menerapkan teknologi itu dalam pengajaran.

Ketika merasmikan Majlis Anugerah Inovasi Pembelajaran Digital Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia (eDOLA) 2026 di Shah Alam pada September lepas, Aminuddin berkata kejayaan sesuatu inovasi perlu dinilai berdasarkan manfaatnya kepada pelajar dan masyarakat, termasuk peluang untuk belajar, bekerja dan menjana pendapatan.

-- BERNAMA