Am 29/11/2026 05:13 PM

Kestabilan Pentadbiran Di Pulau Pinang Pacu Pembangunan Ekonomi - Anwar

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kestabilan Pentadbiran Di Pulau Pinang Pacu Pembangunan Ekonomi - Anwar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada majlis penutupan Program Yakin MADANI 2026 peringkat Pulau Pinang di Kompleks Sukan Balik Pulau hari ini.

BALIK PULAU, 29 Nov (Bernama) -- Kestabilan pentadbiran di Pulau Pinang membolehkan kerajaan negeri memberikan tumpuan kepada agenda pembangunan, menarik pelaburan, dan memperkukuh pertumbuhan ekonomi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata keupayaan kerajaan negeri mentadbir dengan stabil, selain menjalin kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan, membolehkan pelbagai agenda pembangunan dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

“Jadi, saya ucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Pulau Pinang (Chow Kon Yeow) kerana dapat mengemudi kerajaan negeri dengan stabil, menjaga semua rakyat (tanpa mengira kaum) di negeri ini,” kata beliau ketika berucap pada majlis penutupan Program Yakin MADANI Pulau Pinang di Kompleks Sukan Balik Pulau di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Perdana Menteri berkata situasi berbeza berlaku di Negeri Sembilan apabila perkembangan politik di negeri itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penjawat awam berhubung kelulusan belanjawan negeri serta pembayaran gaji mulai Januari tahun depan.

Beliau berkata ketidaktentuan politik boleh menjejaskan kelancaran pentadbiran serta pelaksanaan dasar dan program pembangunan, sekali gus memberikan kesan kepada rakyat.

“Kalau tidak stabil, kita tengok contoh sebelum ini, empat tahun empat Perdana Menteri tukar, tidak ada penentuan untuk membuat dasar dan melaksanakan program, dan yang terbeban ialah rakyat,” kata beliau.

Beliau berkata kestabilan pentadbiran turut menyumbang kepada keupayaan Pulau Pinang mengekalkan prestasi ekonomi yang baik, menarik pelaburan serta memperkukuh kedudukannya sebagai antara pemacu pertumbuhan industri negara, khususnya dalam sektor semikonduktor dan teknologi tinggi.

Menteri Kewangan itu berkata pembangunan ekosistem semikonduktor menerusi inisiatif Penang Silicon Design @5km+, Penang Chip Design Academy dan Malaysia Automation Test and Equipment (ATE) Campus di Batu Kawan mencerminkan usaha negeri itu memperkukuh kedudukannya dalam industri berteknologi tinggi.

Anwar berkata kecekapan kerajaan negeri dalam meluluskan projek, selain kerjasama dengan pihak industri, membolehkan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri menyelaraskan usaha bagi menjayakan agenda pembangunan.

“Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri boleh bekerjasama kerana Pulau Pinang antara negeri yang prestasinya baik, dengan kelulusan yang cekap dan cepat. Ini hanya di Pulau Pinang,” kata beliau.

-- BERNAMA