KUALA NERUS, 29 Nov (Bernama) -- Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berpotensi dibangunkan sebagai Universiti Darul Hadis bagi memperluas akses pendidikan tinggi kepada lepasan institusi pondok dan maahad tahfiz, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata usaha itu memerlukan kerjasama antara institusi pondok, maahad tahfiz dan universiti bagi menggabungkan sistem pengajian agama tradisional dengan pendidikan tinggi moden.
Menurut beliau, gabungan kaedah pengajaran ketiga-tiga institusi itu mampu menyediakan sistem pendidikan lebih menyeluruh tanpa mengetepikan asas pengajian agama.
"Saya telah menyarankan agar ada jalinan antara institusi pondok dan juga maahad tahfiz dengan universiti. Ini bertujuan mencantumkan ilmu yang diajarkan mengikut pedagogi di maahad tahfiz dan pondok supaya dapat dijalinkan erat dengan struktur pedagogi atau metodologi pengajaran di ketiga-tiga institusi ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Sama’ Hadis Riyadus Solihin bersama Sheikh Dr Ali Muhyeldin Al Qaradaghi dan Ijtimak Pondok Nusantara di UniSZA di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata pelajar tahfiz yang memperoleh syahadah hafazan al-Quran 30 juzuk dicadangkan mengambil dua mata pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah, bagi membuka laluan melanjutkan pengajian ke universiti.
Beliau berkata peluang itu tidak seharusnya terhad kepada pelajar yang memilih bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sebaliknya turut diberikan kepada mereka yang berminat mengikuti bidang pengajian lain.
"Pelajar yang ingin mengambil kursus lain selain bidang teknikal juga perlu diberi peluang dengan mengambil dua mata pelajaran yang saya sebutkan tadi," katanya.
Ahmad Zahid berkata pendekatan itu turut membolehkan pelajar tahfiz melanjutkan pengajian ke program asasi universiti, termasuk menerusi tawaran UniSZA hasil perbincangan dengan naib canselor universiti berkenaan.
Terdahulu, ketika berucap, beliau berkata agenda Huffaz Profesional yang diusulkan sejak 2016 akan terus diperkasakan bagi melahirkan lebih ramai golongan huffaz dalam bidang profesional.
Katanya, sebanyak 2,364 pelajar tahfiz mendaftar dalam program integrasi tahfiz dan TVET bagi tempoh 2023 hingga 2025, dengan 900 daripadanya berjaya memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 4 yang setaraf diploma.
Beliau berkata pencapaian itu membuktikan pendidikan agama dan tahfiz bukan penghalang kepada golongan huffaz untuk mengembangkan potensi dalam bidang ekonomi, teknologi, penyelidikan dan pendidikan.
Ahmad Zahid berkata usaha itu juga bertujuan melahirkan lebih ramai golongan profesional dalam kalangan huffaz, termasuk doktor, jurutera, akauntan dan peguam serta pakar kecerdasan buatan (AI) yang memahami Maqasid Syariah.
Beliau turut berharap usaha memperkasakan pendidikan tahfiz dapat melahirkan pemimpin negara pada masa depan, termasuk Perdana Menteri dalam kalangan huffaz.
-- BERNAMA