TANJONG MALIM, 29 Nov (Bernama) -- Masjid berpotensi menjadi pusat pembangunan ekonomi komuniti menerusi pelaksanaan projek keusahawanan yang dapat membantu meningkatkan pendapatan masyarakat setempat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata usaha memperluas inisiatif itu akan terus digerakkan dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), agensi yang memiliki kepakaran dan komuniti setempat.
“Masjid bukan hanya tempat kita beribadah tetapi juga tempat untuk membangunkan komuniti setempat merangkumi semua aspek.
“Kita sudah mempunyai cadangan dan program untuk memperkasakan masjid di seluruh negara termasuk menerusi projek ekonomi yang berdaya maju,” katanya.
Zulkifli berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Projek Pembangunan Komuniti YAPEIM (PPKY) Tanaman Cendawan Tiram Kelabu di Masjid Al-Ikhwan, Taman Bernama Baru di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM Abdul Khudus Mohd Naaim dan Ketua Pengarah YAPEIM Zabidi Nasan.
Zulkifli berkata projek melibatkan 22 peserta itu telah beroperasi sembilan bulan dan menunjukkan hasil memberangsangkan serta mendapat permintaan pasaran yang tinggi.
Beliau berkata YAPEIM bekerjasama dengan agensi termasuk Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi memastikan pemilihan projek bersesuaian dan berdaya maju selain turut membantu aspek pengeluaran serta pemasaran hasil.
“Pemilihan projek mengambil kira pandangan pihak masjid serta nasihat agensi yang mempunyai kepakaran dan pengalaman bagi memastikan kejayaan pelaksanaan. Kita juga membantu dari peringkat pengeluaran hingga pemasaran,” katanya.
Zulkifli berkata pemilihan peserta dilakukan dengan kerjasama pihak masjid, pejabat daerah dan ketua kampung bagi memastikan mereka benar-benar berminat, komited serta bersedia mengikuti latihan dan mempelajari kemahiran diperlukan.
Beliau berkata usaha memperkasakan institusi masjid turut dilaksanakan menerusi pengenalan Anugerah Masjid Malaysia yang mengiktiraf kecemerlangan dalam pelbagai kategori termasuk ekonomi, keusahawanan, belia, mesra wanita dan alam sekitar.
-- BERNAMA