Am 29/11/2026 03:02 PM

Pembangunan Kanak-kanak Perlu Melangkaui Pencapaian Akademik - Nancy

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pembangunan Kanak-kanak Perlu Melangkaui Pencapaian Akademik - Nancy
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri (empat, kanan) melakukan gimik perasmian Karnival Hari Kanak-Kanak Sarawak 2026 di Kampung Pasir Panjang di sini, hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi (tiga, kanan) dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Mohd Daud Mohd Arif (tiga, kiri).

KUCHING, 29 Nov (Bernama) -- Usaha membentuk generasi masa depan yang berkeyakinan dan berdaya saing tidak boleh hanya berpaksikan pencapaian akademik, sebaliknya perlu turut memberi penekanan terhadap kesejahteraan emosi, perkembangan sosial dan kemahiran hidup kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata setiap kanak-kanak, tanpa mengira latar belakang keluarga, kedudukan sosioekonomi, keupayaan fizikal atau lokasi tempat tinggal, berhak membesar dalam persekitaran yang selamat, sihat dan kondusif.

“Kita mahu anak-anak Malaysia membesar sebagai individu yang berilmu, berakhlak mulia, berkeyakinan, berdaya saing dan mempunyai semangat perpaduan yang tinggi.

“Untuk mencapai hasrat ini, pembangunan kanak-kanak tidak boleh hanya tertumpu kepada pencapaian akademik. Kita juga perlu prihatin terhadap kesihatan fizikal, kesejahteraan emosi, perkembangan sosial, pembentukan sahsiah dan kemahiran hidup mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Sambutan Hari Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak di sini, hari ini.

Nancy berkata kanak-kanak juga perlu diberikan ruang untuk meneroka minat, mengembangkan bakat dan menyuarakan pandangan mengikut usia serta tahap kematangan masing-masing.

Beliau berkata institusi keluarga memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian dan kesejahteraan emosi kanak-kanak, terutama dalam mendepani cabaran sosial serta perkembangan pesat dunia digital.

Kepentingan memberikan perhatian terhadap kebajikan dan perkembangan kanak-kanak turut digambarkan menerusi statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak yang merekodkan 1,161 kes perkhidmatan kanak-kanak dalam tempoh Januari hingga September tahun ini.

Daripada jumlah itu, 611 kes melibatkan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan pelindungan, diikuti kanak-kanak terlibat dengan jenayah (214 kes) dan kehamilan luar nikah (196 kes).

Nancy berkata dalam kesibukan memenuhi tuntutan kehidupan seharian, ibu bapa perlu meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak, memahami perasaan mereka serta memberikan bimbingan dengan penuh kesabaran. 

Beliau turut menekankan kepentingan memastikan kanak-kanak di kawasan luar bandar dan pedalaman mendapat akses lebih baik kepada pendidikan, penjagaan kesihatan, pemakanan seimbang, kemudahan rekreasi dan perkhidmatan perlindungan.

“Tiada seorang pun kanak-kanak harus tercicir daripada peluang untuk menyerlah. Ini termasuk kanak-kanak berkeperluan khas atau kanak-kanak daripada keluarga yang kurang berkemampuan,” katanya.

-- BERNAMA