MIRI, 29 Nov (Bernama) -- Cadangan pemindahan jajaran paip air utama di kawasan Batu 7, Jalan Miri-Bintulu yang sering mengalami masalah paip pecah kini memasuki fasa pelaksanaan susulan kerja pengambilan tanah dan perobohan struktur di lokasi baharu selesai dilaksanakan.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek pemindahan utiliti sepanjang 4.2 kilometer (km) di bawah Pakej Kerja 11 (WPC11) Lebuh Raya Pan Borneo itu disasarkan siap dalam tempoh tiga tahun atau kemungkinan lebih awal ekoran kepentingannya kepada pengguna.
Bagi memastikan bekalan air kepada penduduk Miri tidak terjejas sepanjang tempoh pembinaan, beliau berkata kontraktor akan membina jajaran paip baharu dahulu sebelum menamatkan operasi paip sedia ada.
“Kalau kita tidak membina paip baharu (dan) memindahkannya, sudah tentu ia akan menjejaskan bekalan air di Miri. Jadi kita bina paip baharu dan apabila siap, akan melakukan pengujian dan pentauliahan.
“Apabila air boleh disalurkan, barulah kita tamatkan perkhidmatan paip sedia ada,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek LTB (Seksyen Miri) dan Projek Redline Short Stretch Miri di sini hari ini.
Berhubung kedudukan jajaran baharu itu, Nanta berkata saluran paip sedia ada terletak di sebelah kiri jalan menghala ke arah Miri manakala jajaran paip baharu akan dialihkan ke sebelah kanan jalan.
“Kerja pengambilan tanah dan merobohkan struktur dalam jajaran itu telah dibuat, jadi kontraktor akan mula membina paip. Kalau terus dilakukan kerja atau menaikkan jalan, sudah tentu akan menjejaskan keselamatan paip sedia ada,” katanya.
Pada Jun lepas, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi berkata pelan jangka panjang pemindahan paip utama di Batu 7 sedang diperincikan dengan Kementerian Kerja Raya berikutan keadaan tanah lembut serta kerja penambakan di kawasan tersebut.
-- BERNAMA