KOTA BHARU, 28 Nov (Bernama) -- Jabatan Akauntan Negara berjaya menyiapkan empat projek pembangunan dan penambahbaikan kemudahan masyarakat bernilai RM500,000 menerusi Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Bukit Merah, Tanah Merah, lebih awal daripada tempoh ditetapkan.
Akauntan Negara Datuk Nasran Omar berkata pelaksanaan projek berkenaan melibatkan pembinaan pagar di Tanah Perkuburan Tok Nyadak serta kerja menaik taraf Masjid Iktikaf Ibnu Sina, Masjid Iktikaf Pak Teh dan Pondok Tahfiz Padang Bongor.
Beliau berkata kejayaan menyiapkan kesemua projek itu mencerminkan komitmen serta kerjasama erat antara agensi kerajaan, pihak pelaksana dan masyarakat setempat.
“Meskipun berhadapan dengan kekangan peruntukan berbanding tahun sebelumnya, pelaksanaan program tersebut tetap berjaya mencapai matlamatnya menerusi perancangan teliti, pengurusan sumber secara berhemah dan pengoptimuman peruntukan,” katanya dalam kenyataan pada Majlis Serah Siap Program Kampung Angkat MADANI Jabatan Akauntan Negara hari ini.
Program yang bermula dengan majlis pelancaran pada 7 Mac lepas itu turut melibatkan siri lawatan dan pemantauan berterusan bagi memastikan setiap projek memenuhi keperluan sebenar masyarakat setempat.
Selain memberi manfaat kepada penduduk, program berkenaan turut membuka ruang pembelajaran kepada tenaga pengajar dan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MARA untuk mengaplikasikan kemahiran teknikal dalam situasi sebenar di lapangan.
Nasran turut menyeru penduduk supaya bersama-sama menjaga dan menyelenggara kemudahan yang disediakan bagi memastikan manfaat pembangunan itu dapat dinikmati secara berterusan oleh generasi akan datang.
--BERNAMA