Am 28/11/2026 11:41 PM

Perlindungan Tebing Menara T313 Dilaksana Mac Lepas

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Perlindungan Tebing Menara T313 Dilaksana Mac Lepas
Kerja pembinaan menara sementara Sistem Pemulihan Kecemasan (ERS) giat dijalankan berhampiran runtuhan menara T313 hari ini. Fasa pertama pembinaan menara ERS bagi talian penghantaran 275 kilovolt (kV) ke Lupis, Segaliud selesai, manakala kerja seterusnya termasuk pemasangan kabel penahan bagi konduktor bawah dan menaikkan tiang utama secara manual sedang dilaksanakan.

KOTA KINABALU, 28 Nov (Bernama) -- Perlindungan tebing menara penghantaran T313 di Ranau telah dilaksanakan secara kecemasan pada Mac lepas, namun arus deras Sungai Liwagu menyebabkan hakisan teruk di tapak sehingga menara itu tumbang pada Khamis lepas.

Sabah Electricity dalam perkongsian video di laman Facebooknya memberitahu pemantauan berkala syarikat utiliti itu mengesan hakisan di tebing Sungai Liwagu berhampiran kaki menara T313 pada Januari lepas.

“Jurutera kemudian telah mereka bentuk dan melaksanakan perlindungan sementara di tebing sungai berkenaan dua bulan kemudian, namun menara itu tumbang pada Khamis lepas selepas berdepan hujan lebat yang berterusan di kawasan itu.

“Sungai Liwagu yang terkenal dengan arus kuat dan kerap mengalami hakisan tebing itu pernah meruntuhkan jambatan konkrit Kampung Lungkidau pada 2017 dan 2022,” katanya.

Bagi kerja pemulihan, pasukan teknikal Sabah Electricity kini memasang penambat bagi kabel penahan menara sementara Sistem Pemulihan Kecemasan (ERS) untuk memastikan struktur menara kekal stabil.

Menurut Sabah Electricity pasukan teknikal telah menyelesaikan kerja penggerudian walaupun proses itu mengambil masa lebih lama akibat keadaan tanah yang keras dan berbatu di lokasi.

Pada masa sama, katanya pasukan itu giat memasang insulator dan kelengkapannya di bahagian atas menara ERS bagi mengoptimumkan masa pemulihan.

"Meskipun setiap usaha perlu dipercepat, keselamatan anggota kerja tetap menjadi keutamaan," menurut Sabah Electricity sambil menegaskan segala usaha dan kepakaran terus digembleng bagi mempercepatkan pemulihan bekalan elektrik.

Menara penghantaran elektrik T313 terletak di tebing Sungai Liwagu, Kampung Sagindai Lama, Jalan Ranau-Telupid tumbang berpunca daripada hakisan tapak asas akibat hujan berterusan dan arus deras Sungai Liwagu.

Kejadian itu menjejaskan 153,599 pengguna berdaftar. Sabah Electricity menyasarkan memulihkan bekalan elektrik itu pada 2 Dis ini atau lebih awal.

Orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini menerusi laman Facebook rasmi Sabah Electricity Careline atau menghubungi talian 15444, 088-515 000 serta WhatsApp 019-852 5427.

-- BERNAMA