Am 28/11/2026 11:09 PM

4,528 Pelumba Dari 27 Negara Sertai RHB LEKAS Highway Ride 2026

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
4,528 Pelumba Dari 27 Negara Sertai RHB LEKAS Highway Ride 2026
Seramai 4,528 pelumba dari 27 negara menyertai edisi ke-11 RHB LEKAS Highway Ride 2026 edisi ke-11 di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS).

KAJANG, 28 Nov (Bernama) -- Seramai 4,528 pelumba dari 27 negara menyertai edisi ke-11 RHB LEKAS Highway Ride 2026 malam ini, yang menyaksikan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) ditutup sepenuhnya kepada lalu lintas bagi memberi laluan kepada acara berbasikal itu.

Acara anjuran bersama Kumpulan Perbankan RHB (RHB) dan Lebuhraya Kajang-Seremban Sdn Bhd (LEKAS), anak syarikat IJM Corporation Berhad, itu dilepaskan oleh Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Mohd Hadzmir Yusoff di Plaza Tol Kajang Selatan.

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata acara itu terus mendapat sambutan menggalakkan meskipun terpaksa ditunda daripada tarikh asal pada 12 Sept lepas susulan keadaan jerebu yang teruk ketika itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN) Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib berkata kira-kira 120 petugas kesihatan, termasuk doktor, jururawat dan kakitangan kesihatan bersekutu, digerakkan di sepanjang laluan bagi menyediakan bantuan perubatan kecemasan kepada peserta.

Perlumbaan sejauh 105 kilometer (km) membabitkan kategori Terbuka, Veteran dan Pasukan Korporat/Terbuka, manakala perlumbaan sejauh 78 km melibatkan kategori Terbuka, Veteran, Dewasa Muda dan Remaja.

Turut diadakan ialah Kayuhan Ria sejauh 17 km bagi peserta berusia 17 tahun ke atas, kayuhan sejauh 12 km bagi kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun serta acara basikal imbangan (pushbike) untuk kanak-kanak kecil.

Pada 2024, RHB LEKAS Highway Ride menerima dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records bagi penyertaan terbesar dalam perlumbaan berbasikal malam di lebuh raya serta penganjuran perlumbaan berbasikal malam di lebuh raya dengan jarak terpanjang, iaitu 105 km.

-- BERNAMA