KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Golongan profesional dalam Persatuan Alumni Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCOBA) dipelawa membentuk satu pasukan khas bagi memberi maklum balas terhadap perancangan pembangunan negara di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cadangan itu telah disampaikan kepada Presiden MCOBA Tunku Datuk Ahmad Burhanuddin Tunku Datuk Seri Adnan bagi membolehkan wakil alumni meneliti pelan perancangan kerajaan serta mengemukakan pandangan, teguran dan kritikan secara langsung.
Anwar, yang juga alumni Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), berharap golongan profesional dalam kalangan bekas pelajar kolej itu dapat menyumbang kepakaran dan pengalaman mereka bagi membantu kerajaan meningkatkan pembangunan serta mengangkat martabat negara.
"Saya mohon maaf kepada saudara-saudara kerana menyampaikan ini kerana saya rasa kalaulah bukan alumni Malay College, manalah lagi saya nak letakkan harapan nak rayu.
"... Saya minta Presiden MCOBA kumpul tenaga dan saya akan berikan ruang yang secukupnya di Jabatan Perdana Menteri supaya saudara dengar sendiri dan berikan sanggahan, kritikan atau cadangan balas untuk mengangkat martabat negara," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan MCOBA di sini malam ini.
Anwar berkata MCOBA merupakan kumpulan kedua yang dipelawa menyertai inisiatif berkenaan selepas alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM), yang juga kumpulan alumni terbesar di negara ini.
Mengulas usaha reformasi kerajaan, beliau berkata pelaksanaannya bukan sesuatu yang mudah kerana kerajaan berdepan pelbagai cabaran, termasuk kelemahan tadbir urus, rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.
Beliau berkata isu berkenaan perlu ditangani secara jujur dan menyeluruh bagi memastikan sumber negara dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat, termasuk dalam pembangunan sektor pendidikan, kesihatan dan penyediaan kemudahan asas.
Dalam pada itu, Anwar berkata polemik berkaitan perbezaan kaum dan kelompok perlu diketepikan bagi memelihara nilai kemanusiaan, keadilan serta tadbir urus yang baik.
"Jadi saudara-saudara, sebab itu bagi kita isunya bukan permusuhan warna kulit, perbezaan warna kulit atau kaum atau kepercayaan. Isunya ialah nilai kemanusiaan. Isunya adalah tatakelola pentadbiran yang baik, bagaimana kita gunakan kuasa dan kebijaksanaan untuk mengatur negara, menegakkan keadilan," katanya.
-- BERNAMA