KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Rakyat Malaysia yang menetap di Qatar digesa memelihara identiti budaya serta mewariskan tradisi negara, khususnya bahasa kebangsaan, Bahasa Melayu, kepada generasi muda yang membesar di perantauan.
Duta Besar Malaysia ke Qatar Faizal Razali berkata pengekalan nilai dan tradisi budaya amat penting bagi memastikan anak-anak Malaysia di luar negara terus kekal terhubung dengan jati diri kebangsaan.
Menurut Kedutaan Besar Malaysia di Doha, duta itu berkata keluarga rakyat Malaysia perlu menyediakan peluang kepada anak-anak mereka untuk mempelajari dan bertutur dalam Bahasa Melayu meskipun membesar di luar negara.
"Rakyat Malaysia yang menetap di luar negara perlu terus menjunjung nilai serta tradisi budaya Malaysia, khususnya dengan menyemai nilai-nilai ini dalam kalangan generasi muda," katanya.
Faizal berkata demikian ketika berucap pada majlis perhimpunan "Colours of Joy" anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Doha dengan kerjasama Persatuan Rakyat Malaysia di Qatar (MAQ) serta komuniti Malaysia pada 27 Nov bersempena dengan sambutan Deepavali.
Beliau turut menekankan bahawa Deepavali merupakan perayaan yang diraikan oleh rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang, sekali gus mencerminkan identiti berbilang kaum negara serta semangat perpaduan dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat.
Perhimpunan itu menghimpunkan rakyat Malaysia yang menetap di Qatar bagi meraikan perayaan berkenaan di samping mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti Malaysia di luar negara.
Faizal turut merakamkan penghargaan kepada MAQ dan komuniti Malaysia atas sokongan serta bantuan berterusan kepada pihak kedutaan dalam menjayakan pelbagai program dan aktiviti sepanjang tahun.
Beliau secara khusus menghargai Suthagaran Nair atas sumbangannya dalam penganjuran perhimpunan itu serta aktiviti kemasyarakatan yang lain.
Sambutan "Colours of Joy" itu menggariskan kepentingan mengekalkan hubungan budaya serta memupuk solidariti dalam kalangan rakyat Malaysia yang menetap di luar negara.
-- BERNAMA