Am 28/11/2026 09:31 PM

​​​​​​​Ajinomoto Malaysia Galak Pengurangan Garam Bagi Kurangkan Risiko NCD

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
​​​​​​​Ajinomoto Malaysia Galak Pengurangan Garam Bagi Kurangkan Risiko NCD
https://maikurang.my/resources

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Ajinomoto (Malaysia) Berhad mempergiat usaha menggalakkan amalan pemakanan sihat dalam kalangan rakyat Malaysia menerusi pendidikan pemakanan dan inisiatif pengurangan pengambilan garam bagi membantu mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit (NCD).

Syarikat itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan komitmen berkenaan dizahirkan menerusi penyertaannya sebagai penaja emas Persidangan Penyakit Tidak Berjangkit Malaysia (NCDM) 2026 yang berlangsung dari 27 hingga 29 Nov di Kampus Lakeside Taylor’s.

Persidangan bertemakan “Mengurangkan Beban Penyakit Tidak Berjangkit: Keutamaan Negara” itu dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Persidangan itu menghimpunkan profesional kesihatan, penggubal dasar, ahli akademik, peneraju industri dan pihak berkepentingan bagi membincangkan strategi menangani peningkatan kes NCD di negara ini.

Antara pengisian utama majlis perasmian ialah pelancaran Buku Resipi Mai Kurang Gula, Garam dan Kalori Jilid 2 yang menampilkan 18 resipi baharu, menjadikan jumlah keseluruhan resipi dalam siri penerbitan itu sebanyak 35.

“Buku resipi ini menggalakkan rakyat Malaysia menyediakan hidangan yang mengandungi kandungan gula, garam dan kalori yang lebih rendah tanpa menjejaskan rasa,” menurut kenyataan itu.

Sokongan terhadap penerbitan buku resipi berkenaan selaras dengan inisiatif penggunaan garam secara bijak (Smart Salt) syarikat itu yang mengetengahkan pendekatan praktikal untuk mengurangkan penggunaan garam dalam masakan tanpa menjejaskan kelazatan hidangan.

Ajinomoto Malaysia turut mengetengahkan penggunaan perencah umami AJI-NO-MOTO® yang menurut syarikat itu mempunyai kandungan natrium kira-kira dua pertiga lebih rendah berbanding garam dan dapat membantu mengurangkan kandungan natrium dalam masakan sehingga 40 peratus apabila digunakan bagi menggantikan sebahagian garam.

Persidangan itu turut menampilkan pembentangan bertajuk “Menilai Semula Penggunaan Garam: Strategi Praktikal Pengurangan Natrium dalam Pencegahan Penyakit Tidak Berjangkit” oleh Timbalan Pengarah Kanan (Prinsipal), Sektor Kawalan Metabolik Kardiorenal, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr Muhammad Syazni Azmi.

Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemakanan sihat, Ajinomoto Malaysia turut menjemput pakar dietetik yang juga tokoh berpengaruh dalam bidang pemakanan, Chong Shen Yi, yang dikenali sebagai MY.FIND.DIET, untuk berkongsi panduan praktikal dalam memilih makanan yang lebih sihat ketika makan di luar.

Syarikat itu berkata pihaknya akan terus menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak serta melaksanakan inisiatif pendidikan pemakanan bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat dan membantu masyarakat membuat pilihan makanan yang lebih baik.

Buku Resipi Mai Kurang Gula, Garam dan Kalori Jilid 2 boleh diakses menerusi https://cancer.org.my.

-- BERNAMA