Politik 28/11/2026 08:19 PM

PRN Sarawak: 29 Kemenangan Tanpa Bertanding GPS, Hadiah Buat Premier - Nancy

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PRN Sarawak: 29 Kemenangan Tanpa Bertanding GPS, Hadiah Buat Premier - Nancy
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sekolah Angkat MADANI dan program Nyambung Blaja di SMK Tun Abang Haji Openg di Kuching. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUCHING, 28 Nov (Bernama) -- Kejayaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) merekodkan 29 kemenangan tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 disifatkan sebagai hadiah buat Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas kepimpinan beliau yang mengutamakan pelaksanaan janji dan ketelusan pentadbiran.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata pencapaian itu bukan sahaja perkembangan positif buat GPS malah mencerminkan penghormatan pelbagai pihak terhadap kepimpinan Abang Johari.

Ahli Parlimen Santubong itu berkata pendekatan Premier Sarawak yang memastikan setiap perancangan diterjemahkan kepada pelaksanaan, selain memberikan penjelasan sekiranya sesuatu projek belum dapat direalisasikan, menyerlahkan prinsip kepimpinan yang telus.

"Premier (Abang Johari) dia cakap serupa bikin, tiada janji-janji lepas itu tidak dibuat. Kalau dia belum dapat buat lagi, dia akan beritahu ini projek untuk tahun yang mana.

"Jadi di situ kita dapat melihat beliau adalah pemimpin yang begitu telus sekali dan kita amat berbangga kerana ramai yang menghormati kepimpinan beliau," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Sekolah Angkat MADANI kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abang Haji Openg di sini, hari ini.

Nancy berkata demikian sebagai mengulas pencapaian GPS merekodkan 29 kemenangan tanpa bertanding berdasarkan pengesahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mengulas kemungkinan senario sama berulang pada pilihan raya umum akan datang, beliau berkata perkara itu sememangnya menjadi harapan namun keutamaan seseorang pemimpin adalah melaksanakan amanah dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Beliau berkata setiap pemimpin perlu memanfaatkan peruntukan dan kemampuan yang diberikan sebaik mungkin bagi memastikan keperluan rakyat terus diberikan perhatian.

Dalam pada itu, beliau berpandangan perkembangan politik semasa turut membuka ruang lebih luas kepada golongan muda, khususnya menerusi media sosial, untuk menyuarakan pandangan dan menilai prestasi kerajaan.

SPR menetapkan pengundian awal pada 8 Dis dan hari pengundian pada 12 Dis ini.

Dapatkan berita terkini PRN Sarawak ke-13 menerusi https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/. 

-- BERNAMA