Am 28/11/2026 08:28 PM

Ilmuwan, Pemimpin Wajar Beri Perhatian Terhadap "Kepincangan Ilmu" - Sultan Nazrin

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Ilmuwan, Pemimpin Wajar Beri Perhatian Terhadap
Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Golongan ilmuwan, pemimpin dan mereka yang menuntut ilmu bertanggungjawab memastikan ia tidak disalahgunakan atau diselewengkan, sebaliknya setiap usaha menimba ilmu sewajarnya berteraskan kebijaksanaan dan pertimbangan moral, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah kesan "kepincangan ilmu" daripada tujuan beretika dan disiplin moral bukan sahaja terbatas dalam dunia akademik, malah turut melibatkan institusi awam dan masyarakat, selain kecekapan profesional perlu seiring dengan tanggungjawab beretika.

"Matlamat pendidikan bukan sekadar untuk memperluas pengetahuan, tetapi juga memperdalam pemahaman, menggalakkan sikap yang bertanggungjawab, serta memupuk komitmen untuk berbakti kepada orang lain. Nilai integriti, keadilan dan belas ihsan perlu diterapkan melangkaui bilik darjah, dewan kuliah dan makmal penyelidikan.

"Ilmu tanpa integriti boleh menjadi alat untuk kepentingan diri. Kepakaran tanpa etika boleh menyebabkan seseorang hilang arah tujuan, manakala kejayaan profesional tanpa tanggungjawab kurang memberikan manfaat yang berkekalan kepada masyarakat," titah Sultan Nazrin.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika menyampaikan ucapan pada Istiadat Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-42 di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah golongan ilmuwan, pemimpin dan mereka yang terus menimba ilmu adalah bertanggungjawab untuk memelihara hubungan antara ilmu dengan pertimbangan yang wajar.

"Tanggungjawab ini juga terletak pada institusi tempat anda mengaplikasikan ilmu dan kepakaran. Semoga disiplin intelektual yang anda pupuk di universiti ini menjadi panduan dalam membuat keputusan, memperkukuh keperibadian serta membantu anda melaksanakan tanggungjawab dengan penuh kebijaksanaan dan rendah hati," titah baginda.

Merujuk kepada peringatan Allahyarham Tan Sri Profesor Syed Naquib al-Attas mengenai “corruption of knowledge” dan kehilangan disiplin moral, baginda menegaskan bahawa para graduan perlu bertindak sebagai khalifah yang bertanggungjawab, iaitu setiap keputusan adalah berpandukan prinsip keadilan, kerendahan hati dan kebijaksanaan.

Sultan Nazrin turut menasihati para graduan supaya tidak bersikap angkuh dengan gelaran akademik yang diperoleh, sambil mengingatkan mereka supaya menghayati peribahasa Melayu, ikutlah resmi padi, semakin berisi, semakin tunduk.

Baginda turut menyifatkan istiadat konvokesyen hari ini sebagai bersejarah dan unik kerana berpeluang untuk menyampaikan ijazah doktor falsafah (PhD) dan sarjana, termasuk kepada Ketua Perlembagaan UIAM, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sultan Nazrin turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Tunku Azizah atas kejayaan itu dan memuji kerendahan hati baginda yang hadir sebagai seorang graduan meskipun memegang jawatan tertinggi di universiti berkenaan.

"Ia sekali gus memperlihatkan disiplin seorang ilmuwan yang tekun, komited dan bersungguh-sungguh," titah baginda sambil mengalu-alukan keberangkatan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

-- BERNAMA