TOKYO, 28 Nov (Bernama-Kyodo) -- Jepun melonjak 10 anak tangga ke kedudukan ke-86 dalam ranking global penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan orang dewasa, menunjukkan peningkatan namun masih mencatat skor di bawah purata global dan ketinggalan berbanding kebanyakan negara Asia lain, menurut indeks yang dikeluarkan baru-baru ini oleh sebuah syarikat pendidikan bahasa yang berpangkalan di Switzerland, lapor Kyodo News.
Peningkatan itu disumbangkan oleh kemajuan dalam kemahiran penulisan dan pertuturan, menurut Indeks Penguasaan Bahasa Inggeris 2026 oleh Education First.
Bagaimanapun, kemerosotan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan golongan muda di Jepun berterusan, dengan mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun mencatat skor terendah berbanding semua kumpulan umur di negara itu, manakala kumpulan berusia 31 hingga 40 tahun mencatat prestasi terbaik.
Indeks itu disusun berdasarkan keputusan ujian melibatkan 2.3 juta peserta berusia 18 tahun dan ke atas di 117 negara dan wilayah yang bahasa Inggeris bukan bahasa ibunda atau bahasa kebangsaan utama.
Skor purata global ialah 485 daripada maksimum 800 mata, turun tiga mata berbanding tahun sebelumnya.
Skor purata Jepun meningkat empat mata kepada 450, sekali gus melonjakkan negara itu daripada tahap terendah dalam lima kategori penguasaan, iaitu “sangat rendah” kepada “rendah”.
Menduduki tempat ke-14 dalam kalangan 24 negara dan wilayah Asia, Jepun masih jauh ketinggalan berbanding negara seperti Malaysia, Filipina, Korea Selatan dan China.
Negara Eropah mendominasi kedudukan teratas ranking itu, dengan Sweden menduduki tempat pertama, diikuti Austria, Denmark, Jerman dan Belanda.
Unit Education First di Jepun memaklumkan bahawa penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun di negara itu merosot dengan ketara sejak 2015 dan kekal pada tahap rendah, trend yang sebahagiannya disebabkan oleh pandemik COVID-19.
Sementara itu, tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan mereka yang berusia 31 tahun dan ke atas di Jepun kekal tidak berubah atau menunjukkan sedikit peningkatan, mencerminkan bahawa latihan di tempat kerja dan pendedahan secara berkala kepada bahasa Inggeris mungkin membantu golongan itu mengekalkan atau meningkatkan kemahiran mereka, menurut unit berkenaan.
-- BERNAMA-KYODO