MACHANG, 28 Nov (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) sudah menyemak draf cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya selepas menerimanya daripada pihak Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU).
Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata pihaknya juga telah mengemukakan draf tersebut kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) untuk penelitian selanjutnya selepas ulasan yang diberikan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja baru-baru ini.
"Saya difahamkan juga perkara ini masih lagi dalam tindakan JKPK dan jika ada isu berbangkit yang perlu kami semak, akan kami lakukan dan jika tidak ada, draf berkenaan akan dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja berkemungkinan pada mesyuarat pada tahun depan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Santuni MADANI Jabatan Peguam Negara 2026 di Sekolah Kebangsaan Pulai Chondong di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya masih dalam proses untuk dimuktamadkan bagi memastikan segala aspek perundangan dan perlembagaan yang berkaitan diberikan pertimbangan sewajarnya.
Katanya, cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan itu telah dipersembahkan untuk makluman Majlis Raja-Raja pada 13 Okt lepas.
-- BERNAMA