Politik 28/11/2026 03:01 PM

PRN Sarawak: SPRM Buka Lima Bilik Gerakan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PRN Sarawak: SPRM Buka Lima Bilik Gerakan

PUTRAJAYA, 28 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak membuka lima bilik gerakan bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan semua bilik gerakan akan beroperasi 24 jam bermula hari penamaan calon hari ini hingga hari pengundian pada 12 Dis.

Menurut SPRM, lima bilik gerakan berkenaan adalah pejabat SPRM Sarawak di Jalan Laksamana Cheng Ho, Kuching; SPRM cawangan Sibu di Wisma Persekutuan, Jalan Persiaran Brooke; SPRM cawangan Miri di Bangunan Persekutuan, Jalan Cahaya Lopeng; SPRM cawangan Bintulu di Wisma Persekutuan Fasa II, Jalan Tun Razak serta SPRM cawangan Limbang di Jalan Muhibbah.

Menurut kenyataan itu, orang ramai juga boleh menyalurkan aduan rasuah dan salah guna kuasa menerusi e-mel rasmi bilik gerakan iaitu aduan.prnsarawak@sprm.gov.my atau menghubungi hotline bilik gerakan di talian 011-60700794.

"SPRM memberi jaminan bahawa setiap maklumat dan aduan yang diterima akan diteliti serta diambil tindakan sewajarnya secara profesional, telus dan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," menurut SPRM.

Dalam pada itu, SPRM mengingatkan calon serta parti politik yang bertanding agar tidak melakukan perbuatan yang boleh melanggar undang-undang termasuk peraturan pilihan raya selaras dengan Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon, 8 Dis hari pengundian awal dan 12 Dis hari pengundian.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan berkuat kuasa 26 Okt lepas, bagi memberi laluan kepada PRN ke-13.

-- BERNAMA