Politik 28/11/2026 03:00 PM

PRN Sarawak: Calon Muka Baharu GPS Di Bawang Assan Sandar Rekod Khidmat Parti

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PRN Sarawak: Calon Muka Baharu GPS Di Bawang Assan Sandar Rekod Khidmat Parti
Pegawai Pengurus Pusat Penamaan calon PRN13 bagi DUN Bawang Assan Tsong Chow Choon mengumumkan pertemuan satu lawan satu antara Kevin Lau Kor Jie dari GPS dan Alice Lau Kiong Yieng dari DAP di Stadium Tertutup Sibu.

SIBU, 28 Nov (Bernama) -- Calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) Kevin Lau Kor Jie menyandarkan kepada rekod khidmat serta keyakinan pengundi terhadap gabungan itu dalam saingan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13, menentang calon berpengalaman daripada DAP Alice Lau Kiong Yieng.

Kevin daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berkata beliau akan terus menumpukan usaha untuk memberikan perkhidmatan di kawasan berkenaan, walaupun mengakui Alice pencabar yang kuat kerana merupakan Ahli Parlimen Lanang dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Sudah tentu, saya sangat mengenali Alice. Kami saling mengenali menerusi persatuan klan, khususnya Persatuan Keturunan Lau. Saya juga mengenali mendiang bapanya yang banyak menjaga kebajikan anggota persatuan klan kami.

“Beliau (Alice) telah memenangi beberapa pilihan raya dan kini berkhidmat sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat. Pencapaian beliau turut menjadi kebanggaan kami,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Stadium Tertutup Sibu di sini hari ini.

Kevin berkata GPS menghormati Alice dan proses demokrasi, namun akan terus komited terhadap agenda pembangunan serta usaha memberikan khidmat kepada rakyat.

“Kami sentiasa berkhidmat untuk rakyat Bawang Assan dan saya percaya mereka dapat melihat usaha yang telah dilaksanakan. Perkara paling penting ialah memperoleh kepercayaan mereka,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau menjangkakan persaingan sengit, Kevin berkata setiap pilihan raya mempunyai ujian yang tersendiri, namun menegaskan bahawa sebarang cabaran dapat diatasi dengan mengekalkan perpaduan dan memperkukuh kekuatan bersama.

Beliau turut menyeru agar kempen pilihan raya dijalankan secara profesional dan harmoni, sambil menegaskan bahawa perbezaan politik tidak seharusnya menjejaskan perpaduan dalam kalangan masyarakat Sarawak yang berbilang kaum dan keutamaan utama kekal kepada perkara yang terbaik untuk Bawang Assan, Sibu dan Sarawak.

Terdahulu, pegawai pengurus pilihan raya bagi Bawang Assan, Tsong Chow Choon mengumumkan pertembungan satu lawan satu antara Kevin dan Alice selepas selesai proses penamaan calon di Stadium Tertutup Sibu.

Kevin turut merakamkan penghargaan kepada Tsong, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan petugas pilihan raya kerana memastikan proses penamaan calon berjalan lancar.

SPR menetapkan pengundian awal pada 8 Dis dan hari pengundian pada 12 Dis ini.

Dapatkan berita terkini PRN Sarawak ke-13 menerusi https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/.  

-- BERNAMA